Merebut pahala berganda Ramadan - Utusan Malaysia

Merebut pahala berganda Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMADAN hanya bertamu sekali dalam setahun. Pada tahun lalu umat Islam khususnya di negara ini menyambut bulan puasa dalam kekangan pandemik Covid-19. Kali ini, bulan yang mulia ini disambut dalam suasana hendak memasuki fasa endemik dengan beberapa kelonggaran prosedur.
Semoga dengan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal akan menghidupkan kemeriahan Ramadan dengan amal ibadat di serata masjid. Berbanding kekangan sebelumnya terpaksa solat tarawih bersama keluarga di rumah masing-masing.
Penceramah bebas, Ustaz Khairudin Mat Lazim Al-Limbati berkata, peluang mendapatkan kerahmatan dan pahala berganda perlu menjadi rebutan dengan persiapan mental, fizikal dan rohani supaya setiap amalan ibadat dapat dilaksanakan dengan baik.
Menurutnya, puasa di bulan Ramadan merupakan rukun Islam, dan setiap detiknya amat bermakna buat umat Islam kerana ihya Ramadan menjanjikan kelebihan yang tiada pada bulan lain sepanjang kalender kehidupan.
Justeru, katanya, kuatkan semangat untuk memperbaiki diri dengan melakukan amalan yang dituntut dan ibadat termasuk sentiasa berdoa untuk keberkatan, mendapat syurga dan menjauhi neraka.
“Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampun segala dosa-dosanya terdahulu.
“Antara keistimewaan Ramadan, Allah SWT menggandakan pahala orang berpuasa melebihi amalan-amalan lain dan kadar pahalanya hanya diketahui oleh-Nya,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Khairudin menambah, rugi kepada mereka yang mengambil sikap bersahaja, tidak menghargai peluang untuk bertaubat, mendapat keampunan dan menggandakan ganjaran pahala yang dijanjikan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “ Semua amalan anak Adam akan digandakan kebaikannya 10 kali ganda serupa dengannya sehingga 700 kali ganda.”
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Melainkan puasa, kerana ia untukku dan aku sendiri yang akan membalasnya , mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-ku.”
Khairudin berkata, puasa adalah ‘dharuriah’ dalam agama yang tidak boleh diingkari selain mendidik nafsu dan keinginan, berdisiplin dan bersabar berdepan sebarang godaan.
Menurutnya, orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka puasa dengan nikmat yang dirasai sendiri selepas seharian menahan lapar dahaga dan kegembiraan ukhrawi ketika menemui Allah SWT dengan kewangian kasturi kerana bau busuk (dari mulut orang berpuasa)l ebih wangi disisi Allah SWT dari Misk (kasturi).
“Puasa adalah bulan pendidikan. Didik diri untuk ikhlas, melatih kekentalan jiwa, kesabaran, membersihkan jiwa, hati dan nurani.
“Melatih sifat perihatin dan ihsan dengan menyahut galakan agama untuk memberi makan pada orang berpuasa, tidak kikir, mudah bersedekah dan menepati tuntutan berzakat,” ujarnya.
Khairudin berkata, saf solat berjemaah yang sudah boleh dirapatkan perlu menjadi simbolik kepada umat Islam di negara ini untuk mula memenuhi dan mengimarah masjid dengan solat waktu dan solat sunat tarawih ber­jemaah demi kelang­sungan beribadat kepada Allah selain mem­perkukuhkan kesatuan umat dan perpaduan sejagat.

USTAZ KHAIRUDIN
MAT LAZIM AL-LIMBATI
» Umur : 41
» Asal: Kampung Balai Limah, Limbat, Kota Bharu, Kelantan.
» Pendidikan:
 Ijazah Sarjana Muda(kepujian) Syariah  Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS)
 Sarjana Pengajian Islam – Universiti Terbuka Malaysia (UNITEM)
 Masih meneruskan pengajian peringkat kedoktoran dalam bidang Agama dan Kontemporari di Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya