Mengejar 10 malam terakhir Ramadan - Utusan Malaysia

Mengejar 10 malam terakhir Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASULULLAH SAW mempertingkatkan amal ibadah pada 10 hari terakhir bulan Ramadan melebihi dari waktu lain dalam kehidupannya. Sirah dan amal baginda, seharusnya diterokai untuk diikuti agar pengisian Ramadan kita lebih bermakna dalam mendidik jiwa dan diri untuk syumul dalam erti kata sebenarnya.
Ramadan inilah medan buat umat Islam mengubati kemelut ketandusan akhlak dan pelbagai penyakit jiwa, mental dan nafsu. Ruang dan peluang terbuka ini perlu dijadikan laluan mendidik diri sendiri untuk kembali ke pangkal jalan.
Imam Tua Masjid Mahmoodi Bachok, Ustaz Mohd. Rosman Che Harun berkata, menghormati Ramadan adalah dengan berbuat amal kebajikan dan menghindari kemaksiatan, noda dan dosa ketika Allah SWT membuka ruang dan peluang untuk melipatgandakan pahala.
Menurutnya, hati yang keras perlu dilembutkan dengan berjinak-jinak ke masjid dan mencari kawan yang soleh dan solehah sebagai rakan pembimbing.
“Antara ibadat yang boleh dilakukan pada 10 hari terakhir Ramadan adalah iktikaf di masjid, perbanyakkan membaca al-Quran, bersedekah, berzikir, solat sunat seperti dhuha, tahajud, solat tasbih dan lain-lain.
“Sekali pun ingin mengejar ganjaran pahala solat sunat tarawih dan witir, solat sunat rawatib terutama selepas solat fardu Isyak (Ba’diyyah) jangan sesekali ditinggalkan. Terus laksanakan kerana setiap amal mendapat ganjaran berlipat kali ganda,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Mohd. Rosman, Aisyah R.A berkata: “Rasulullah SAW lebih giat (dalam beribadah) pada 10 hari terakhir ini yang tidak baginda lakukan pada hari-hari lainnya,” (Hadis Riwayat Muslim). Amalan ini perlu dicontohi dengan mengikutinya kerana baginda ialah idola umat Islam.
Jelas beliau, dalam tempoh ini juga seharusnya solat tarawih terus dijaga tanpa ponteng dengan melakukan persiapan Hari Raya.
Ini katanya termasuk, hadir awal ke masjid dengan niat untuk berada di saf paling depan dan tidak beredar sehinggalah imam meninggalkan tempatnya.
“Ini kalau diamalkan selama sebulan, pastinya ia akan menambah kecintaan untuk ke rumah Allah dengan kecintaan yang tinggi untuk beramal ibadat. Jangan jadikan masjid kembali lenggang selepas Ramadan berakhir.
“Beriktikaf perlu diusahakan dengan mengajak ahli keluarga, jiran dan kenalan ke Masjid sekurang-kurangnya bermula waktu Maghrib sehingga tamat solat tarawih. Lebih afdal sekiranya keseluruhan malam diisi dengan ibadah ketika beriktikaf.
“Pastikan kita dapat bersama-sama solat tarawih di masjid atau surau bersama imam hingga selesai kerana ganjarannya ditulis pahala seperti qiam sepanjang malam,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, digalakkan untuk perbanyakkan doa terutama ketika menunggu saat berbuka puasa dan pada waktu sahur.
Beliau menambah, amalan iktikaf 10 hari terakhir Ramadan antara sunnah Rasulullah SAW sering dilupakan oleh kebanyakan umat Islam hari ini. Sedangkan, amalan ini dapat mengembalikan matklamat mengimarahkan masjid yang menghimpunkan kebaikan duniawi dan ukhrawi.
Sebaik-baiknyanya, kata beliau, iktikaf serta ‘qiam’ di malam hari diisi dengan solat sunat, tilawah, zikir dan doa.
“Hargai dan bersyukur dengan kelonggaran kerajaan, merapatkan saf solat dan berpeluang kembali menghidupkan masjid sepanjang Ramadan tidak sebagaimana Ramadan sebelumnya,” ujarnya.

USTAZ MOHD. ROSMAN
CHE HARUN
» Usia: 46 tahun
» Asal: Kampung Gong Kulim, Pasir Puteh, Kelantan
» Pendidikan:
-Sekolah Arab Saniah Pasir Puteh, Kelantan.
-Pusat Pengajian Islam Pondok Moden Kandis, Bachok.
-Institusi Pengajian Tinggi Islam Bagan Serai, Perak.
-Universiti Al-Azhar, Mesir – Sarjana Muda Syariah dan undang-undang.
» Tugasan hakiki:
Imam Tua Masjid Mahmoodi Bachok, Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya