IKTIKAF adalah sunnah yang boleh dilakukan setiap waktu di masjid dan paling afdal sekiranya dilakukan dalam bulan Ramadan yang penuh barokah ini.
Iktikaf bermaksud berhenti atau ‘Qiam’ di dalam masjid dengan syarat-syarat tertentu dengan niat beribadah kepada Allah SWT.
Bekas Pengurus Besar Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Shauki Abd. Majid berkata, sunnah yang mudah dipraktikkan itu dalam konteks komuniti Islam negara ini bagaikan tidak begitu popular di sini.
Menurutnya, ahli fikh Wahbah az-Zuhaili dari Universiti Damsyik merumuskan bahawa matlamat sebenar iktikaf adalah untuk membersihkan hati dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menghentikan urusan duniawi pada waktu-waktu tertentu semata-mata untuk beribadah kepada-Nya.
Dan (ingatlah) ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian maqam (tempat berdiri) Ibrahim sebagai tempat solat. Dan kami telah membuat janji dengan Ibrahim dan Ismail agar menyucikan rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, yang iktikaf, yang rukuk, dan yang sujud. (al-Baqarah [2]: 125).
“Ayat ini jelas menyebut bahawa salah satu fungsi tempat ibadah adalah iktikaf. Tapi kini di manakah fungsi itu? Hampir kita tidak menemuinya lagi.
“Bahkan ada sebahagian pengurus masjid melarang orang untuk iktikaf. Masjid dikunci selepas selesai solat fardu atas alasan keselamatan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Shauki , iktikaf zaman moden tampil dalam pengertian yang terlalu sempit iaitu sekadar Qiam sejenak dengan niat walhal amalan ini dilakukan Rasulullah SAW sepanjang hari terutama 10 terakhir Ramadan.
Menurutnya, kitab Bukhari-Muslim yang diriwayatkan dari Ibnu Umar, Anas, dan Aisyah bahawa Rasulullah SAW melakukan iktikaf di 10 hari terakhir dari bulan Ramadan sejak tiba di Madinah sampai beliau wafat. (Hadis Riwayat Bukhari Muslim).
Katanya, ketika melaksanakan iktikaf, dianjurkan untuk memperbanyakkan doa, bacaan al-Quran, bertasbih dan zikirullah yang dapat memperkaya iman serta ketakwaan.
“Jadikan masjid sebagai tempat iktikaf untuk penyucian jiwa dan berzuhud kepada-Nya.
“Perlu diingat, iktikaf bukannya wahana untuk berdiskusi, apa lagi untuk berbual kosong dan bukan tempat istirahat atau tidur,” ujarnya.
Menurutnya, iktikaf adalah wahana untuk bersungguh-sungguh atau fastaniqul khairat (berlumba-lumba) dalam memperbanyak ibadah kepada Allah SWT.
Tambah Shauki, Rasulullah SAW menyatakan iktikaf di 10 malam terakhir bagai beriktikaf dengan Rasulullah SAW.
“Siapa yang ingin beriktikaf bersamaku, maka beriktikaflah pada sepuluh malam terakhir.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Shauki merumuskan, Ibnu Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lataif al-Ma’arif menyebut, hakikat iktikaf itu adalah memutuskan segala hubungan dengan makhluk dalam usaha untuk menyambung hubungan dan ibadat kepada pencipta.
Katanya, pelaksanaan iktikaf kurang sempurna sekiranya sepanjang qiam di masjid masa dihabiskan dengan sembang kosong serta membalas mesej serta komen di media sosial dan sebagainya.
Allah SWT berfirman bermaksud: “Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib) dan janganlah kamu setubuhi isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukum-Nya kepada sekalian manusia supaya mereka bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 187).
HAJI SHAUKI ABD. MAJID
» Asal: Kampung Cherang Ruku,
Pasir Puteh, Kelantan.
» Umur: 63
» Latar Belakang Pendidikan:
Ijazah Pengajian Media
Universiti Malaya (UM)
Sarjana Peradaban UM
» Aktiviti:
Penyampai dakwah menerusi kolum
akhbar arus perdana dan
penulisan buku-buku agama.
Penulis Buku Islam Hadhari (2005)
» Pengalaman kerja:
Bekas Ketua Pengarang Majalah Dakwah
Bekas Pengurus Besar Yadim
Badan bukan kerajaan (NGO): Setiausaha Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia.
» Tugas hakiki:
Admin laman web Islam – dhomir.com