MELAKA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada 15 Ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dalam upacara yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka disambut kenamaan utama negeri diketuai Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Ab. Rahman serta Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Majlis yang bermula pukul 10.22 pagi itu didahului Sulaiman merangkap Pengerusi MAIM dan disaksikan Mohd. Ali.
Ahli Majlis lain yang menerima lantikan tersebut ialah Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Md. Rawi Mahmud serta Setiausaha MAIM, Muhammad Ikram Ibrahim.
Watikah pelantikan Ahli Majlis itu berkuatkuasa 20 April 2020 hingga Oktober 2022 yang termaktub mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Melaka.
Sejurus selepas selesai penyampaian watikah, Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan sumbangan kepada Masjid Al-Azim, Masjid Al-Sultan Abdullah serta Surau Batu di Ujong Pasir.
Upacara yang diadakan hari ini adalah penutup lawatan dua hari Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah ke Melaka. – UTUSAN