Pengisian Syaaban meniti kemuliaan Ramadan - Utusan Malaysia

Pengisian Syaaban meniti kemuliaan Ramadan

Ustaz Abu Husain Radzai
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP bulan dalam kalendar Islam mempunyai keberkatannya yang tersendiri asalkan umat Islam memasang niat ikhlas untuk terus beribadah, beramal mentaati perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.
Kehadiran bulan Syaaban dengan keberkatannya yang menyediakan peluang seluas-luasnya untuk kita melakukan kebajikan dengan memperbanyakkan amal ibadat kepada Allah SWT serta melaksana amal kebajikan sesama insan.
Imam Tua Masjid Mukim Padang Pak Amat, Ustaz Abu Husain Radzai berkata, setiap umat Islam tidak sewajarnya meninggalkan Syaaban tanpa menghayati dan menghargai kelebihannya.
Menurutnya, Syaaban sebagai bulan percubaan membaiki diri untuk tampil sebagai insan cemerlang sebelum tibanya Ramadan.
“Sementara Ramadan pula perlu dijadikan pemangkin untuk terus zuhud kepada Allah SWT, mengekalkan akhlak mulia dan terus kental mentaati perintah-Nya.
“Sebahagian ahli hikmah pernah berkata bahawa Rejab adalah kesempatan untuk minta ampun daripada segala dosa, Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan Ramadan adalah masa menerangkan hati dan jiwa,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di masjid berkenaan baru-baru ini.
Menurutnya, amalan mulia yang sentiasa dilaksanakan sepanjang kehidupan boleh digandakan sepanjang bulan Syaaban dengan mencontohi apa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.
Katanya, tingkatkan amalan sunat termasuk berpuasa, dekatkan diri dengan masjid untuk mendirikan solat lima waktu berjemaah, melaksanakan solat sunat, menghadiri majlis ilmu dan berusaha mensucikan jiwa dan akhlak yang pastinya akan membawa kepada ketenangan jiwa.
‘’Berjinak-jinak dengan masjid untuk mencari rahmat dan barokah serta terus istiqomah untuk terus berjemaah di rumah Allah sepanjang Ramadan dan selepasnya.
“Beberapa peristiwa yang berlaku pada bulan Syaaban juga perlu dihayati termasuk peristiwa besar yang berlaku pada pertengahan Syaaban yakni peralihan kiblat dari Baitul Maqdis ke Kaabah iaitu dari Masjid al-Aqsa ke Masjid al-Haram pada tahun kedua Hijrah,” ujarnya.
Paling perlu, katanya, amalan berdoa memohon limpah kurniaan Allah sebagaimana menjadi amalan lazim tanpa mengira bulan perlu dipanjangkan sepanjang bulan Syaaban.
Menurutnya, malam pertengahan Syaaban yang difahamkan sebagai malam pengampunan, seperti disebut dalam hadis diriwayatkan Imam Ibnu Majah yang mafhumnya: “Daripada Yahya ibni Abi Khasir, daripada Irwah, daripada Aisyah berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT menurunkan rahmat-Nya (memakbulkan doa) pada malam Nisfu Syaaban ke langit bawah (langit dunia), maka Allah SWT mengampunkan hamba-Nya lebih banyak bilangannya daripada bulu kambing Kabilah Bani Kalib.
“Jika pada Ramadan umat Islam wajib berpuasa sebulan lamanya, maka Syaaban perlu diperbanyakkan amalan puasa sunat, lebih daripada kebiasaan. Kesempatan ini juga patut diambil untuk melatih anak-anak berpuasa sebelum mereka wajib melakukannya pada Ramadan nanti.
“Begitu juga amalan sunat lain seperti bersedekah dan solat sunat. Syaaban penuh rahmat jangan dibiarkan pergi tanpa memanfaatkanya,”katanya.
Amalan bersedekah, katanya, sedikit sebanyak meringankan bebanan asnaf yang mengharapkan bantuan mereka berkemampuan, paling tidak kehadiran Ramadan nanti akan melegakan mereka dan bersama-sama menunaikan ibadat wajib dengan hati yang tenang.

USTAZ ABU HUSAIN RADZAI
»Usia: 37 tahun
»Asal: Kampung Kelubi, Pasir Puteh, Kelantan
»Pendidikan:
Diploma Dakwah Islamiah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Kota Bharu
Ijazah Sarjana Muda bidang Dakwah Islamiah Universiti Al-Azhar, Mesir
»Tugasan hakiki: Imam Tua Masjid Mukim Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya