Netizen jangan kecam ulama - Utusan Malaysia

Netizen jangan kecam ulama

Ustaz Khubaib Ramli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ULAMA adalah golongan yang perlu berada di barisan hadapan kerana peranan mereka dalam memimpin saf perjuangan menuju jalan kebenaran seperti digariskan oleh ajaran Islam. Maka institusi ulama yang menjadi tonggak utama kepada jemaah Islam berdasarkan kepada ketokohan dan tahap keilmuan yang dimiliki mereka perlu dihormati dan dipandang tinggi.
Pengerusi Jemaah Pengurusan Institusi Pendidikan Agama Islam Kebangsaan, Ustaz Khubaib Ramli, 38, berkata, peranan ulama perlu dihormati setiap lapisan masyarakat termasuk dalam kalangan netizen di media sosial kerana Islam sangat menitikberatkan tentang adab serta akhlak.
Menurut perspektif Islam, katanya, ulama ialah insan yang bertanggungjawab dalam mendidik dan menyampaikan ilmu kepada masyarakat yang merangkumi setiap aspek dari segi rohani, akademik dan agama.
“Oleh itu, golongan ulama wajar dihormati kerana martabat ulama diiktiraf di dalam Islam bukan dikecam. Allah SWT berfirman dalam surah al Mujadalah ayat 11: “Allah akan meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat”.
“Rasulullah SAW pula bersabda: Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku akan mengisytiharkan perang terhadapnya (Al-Bukhari 6502),” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Agama Daril Iktisam, Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang, Padang Terap baru-baru ini.
Ustaz Khubaib yang juga pengetua di sekolah menengah agama itu berkata, sejak akhir-akhir ini, peranan ulama sering dikecam netizen dan tindakan ini tidak wajar sama sekali kerana masyarakat perlu memberi sokongan dalam setiap usaha ulama mendidik anak bangsa khususnya pada zaman yang penuh dengan cabaran ini.
Masyarakat sekarang, katanya, terlalu bebas bersuara dan memberi pandangan melulu sehingga terlupa adab dan nilai.
“Islam tidak menghalang seseorang untuk melontarkan pandangan tetapi biarlah dengan adab. Umumnya mengetahui kita mempunyai empat mazhab muktabar iaitu mazhab Maliki, Mazhab Shafie, Mazhab Hanafi dan Mazhab Hambali.
“Mereka ini ulama yang sangat terkenal tetapi kadangkala bercanggah dalam beberapa perkara, namun masih menghormati di antara satu sama lain dan bersikap terbuka,” terangnya.
Oleh itu, katanya, bagi netizen yang mahu memberi komen atau mengkritik ulama perlu memastikan semuanya itu ada kebenarannya dan mengandungi nasihat yang boleh memberi manfaat kepada semua pihak. – Mingguan Malaysia

 

USTAz KHUBAIB RAMLI
»Umur: 38
»Pendidikan
 Sekolah Menengah Agama Daril Iktisam
 Ma’ahad Buuth Islamiyah Al Azhar As Syariff, Mesir
 Universitas Ar Raniry Banda Aceh, Indonesia
»Jawatan Hakiki:
 Pengetua Sekolah Menengah Agama Daril Iktisam
 Pengerusi Jemaah Pengurusan Institusi Pendidikan Agama Islam (JPIPAI) Kebangsaan.
 Ahli Jawatankuasa Majlis Pengetua Sekolah Malaysia
 Setiausaha Persatuan Pengetua Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Kedah .

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya