Fahami konsep reda seorang isteri - Utusan Malaysia

Fahami konsep reda seorang isteri

SYEIKH KHAIRUL FIRDAUS ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERDOSA. Itu hukumnya lelaki yang membiarkan isterinya keluar bekerja sedangkan dia duduk di rumah saja.
Menurut Timbalan Imam Besar Masjid Zahir, Syeikh Khairul Firdaus Abu Bakar, lelaki harus kembali kepada fitrah ciptaan Allah SWT dan al-Quran iaitu mereka diciptakan sebagai ketua keluarga dan wajib mencari nafkah bagi isteri serta anak-anak.
Bercakap tentang isu yang hangat diperkatakan itu, katanya, Allah meletakkan kedudukan lelaki tinggi di sisi-Nya apabila manusia pertama yang diciptakan Allah adalah lelaki, Nabi Adam a.s di syurga.
“Allah berikan segala kemahiran dan kepakaran yang ada di muka bumi ini kepada Nabi Adam untuk hidup di syurga. Cuma pada suatu ketika Nabi Adam berasa kesunyian kerana melihat makhluk lain seperti haiwan hidup berpasangan walaupun mempunyai segala-galanya di syurga, maka diciptakan Hawa sebagai pelengkap. Jangan lupa Hawa dicipta daripada tulang rusuk Nabi Adam dan dikahwinkan di syurga.
“Jangan jadi suami yang zalim apabila membiarkan isteri keluar bekerja sedangkan tanggungjawab hakiki suami adalah mencari nafkah. Nafkah untuk isteri adalah menjaga makan minum, pakaian dan tempat tinggal,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau yang sering membuat kajian tentang institusi perkahwinan berkata, walaupun pandemik Covid-19 ketika ini banyak merubah norma kehidupan dalam institusi kekeluargaan na­­­mun mem­­­­­­­­­bia­sakan isteri sebagai ketua mencari nafkah adalah tidak wajar apatah lagi apabila ia bukan kerelaannya.
Walaupun atas nama reda sekali pun, jelasnya, ia perlu dielakkan bagi memastikan kesejahteraan rumah tangga selain sebagai model yang baik untuk zuriat masing-masing.
“Bila jadi pandemik ini kita lihat ada lelaki ambil kesempatan duduk rumah kerana selesa dengan situasi ini. Kembalilah kepada fitrah Allah. Bila suami bertabiat demikian itu adalah zalim. Allah tidak akan memberi hidayah dan jalan keluar kepada orang zalim.
“Isteri pun manusia juga walaupun dia ada kemahiran dan kelebihan namun jika suaminya tidak menunaikan tanggungjawabnya, itu adalah dosa. Alasan reda tidak boleh digunakan untuk melarikan diri daripada tanggungjawab,” katanya.
“Contohi Rasulullah SAW, bila berkahwin dengan Siti Khadijah r.a, baginda melakukan semua tanggungjawab sebagai suami malah isterinya memperlahankan langkah dan menyerahkan semua tugas serta perniagaan kepadanya walaupun Siti Khadijah ini adalah ahli pernia­gaan,” katanya.
Tambahnya, kezaliman yang dilakukan oleh lelaki ke atas isterinya akan menghilangkan, mawaddah, sakinah dan rahmah dalam sesebuah perkahwinan.
“Isteri yang dianugerahkan oleh Allah itu sebagai amanah dan anugerah. Di mana kita letaknya? Adakah di sisi, di atas atau di bawah? Semua itu akan disoal kelak. Jangan guna istilah reda untuk menghalalkan sesuatu ditegah dalam Islam.
“Oleh itu bagi lelaki mereka perlu melengkapkan diri dengan ilmu sebelum berkahwin bukan semata-mata menyukai seorang wanita itu, terus ingin berkahwin. Berkahwin tetapi tak mampu menyediakan nafkah, itu berdosa apatah lagi si isteri pula terpaksa keluar cari nafkah,” katanya.

Syeikh Khairul
Firdaus Abu Bakar
»Jawatan: Timbalan Imam Besar Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah
»Umur: 40 tahun
»Tempat lahir: Kampung Perik Kuala Nerang Padang Terap, Kedah
»Pendidikan: SK Perik, Padang Terap
SM Agama Nahdhah Hasanah Darul Quran, Kuala Kubu ,Selangor
Sarjana Pengajian Islam (Syariah) USM
Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah) UKM
Diploma Pengajian Syariah
UiTM Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya