Kebelakangan ini negara kerap dilanda bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh yang bukan sahaja memusnahkan harta benda tetapi turut meragut nyawa.
Kejadian demi kejadian ini sekali gus memberi peringatan serta sepatutnya menerbitkan rasa keinsafan kepada umat Islam terutamanya supaya mengelak melakukan kemungkaran.
Bagi Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang berkongsi pandangan mengenai perkara ini berkata, bencana yang berlaku itu melibatkan beberapa faktor antaranya mungkin sistem alam itu sendiri atau ujian Tuhan pada hamba-NYa.
Menurut beliau, manusia akan mendapat pahala atas sebarang bencana alam yang melibatkan mereka dengan syarat mereka reda dan sabar.
Dalam pada itu, katanya, bencana alam silih berganti melanda Malaysia kebelakangan ini, juga mungkin amaran dan peringatan Allah SWT terhadap segala dosa, kekhilafan, kecuaian dan penyelewengan yang dilakukan sesama manusia.
Ia jelasnya lagi, berkemungkinan balasan Allah SWT atas kemungkaran dilakukan dan sepatutnya ia cukup memberi peringatan kepada manusia supaya bertaubat dan kembali kepada-Nya.
“Apa yang berlaku di negara ini, tidak dapat dipastikan faktor yang mana. Apa yang pasti, sebelum ini tidak pernah berlaku seperti sekarang.
“KIta bimbang ini adalah amaran Allah SWT kepada kita semua atas dosa-dosa yang telah dilakukan, maka wajarlah kita semua kembali kepada Allah SWT,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Dalam pada itu, kata Mohd. Asri, bencana atau kerosakan tersebut mungkin juga disebabkan perbuatan manusia itu sendiri.
“Banyak sudut perlu dilihat bila sesuatu bala bencana yang berlaku atas perbuatan manusia. Apakah kita lalai menegakkan Amar Makruf dan Nahi Munkar atau sebaliknya sehingga golongan zalim menguasai keadaan?
“Membiarkan golongan yang zalim, perasuah dan ahli maksiat menguasai keadaan akan mendatangkan banyak akibat buruk.
“Dunia adalah tempat ujian dan jika kita mampu menempuhnya, ujian itu boleh mengurangkan dosa dan bererti kita berjaya. Namun jika bencana itu menjadikan kita jauh dari Allah SWT atau didatangkan bencana dalam kemurkaan Allah SWT, itu satu kerugian maha besar,” jelasnya.
Dalam pada itu, tambah beliau, kadang kala bala atau bencana menimpa negara boleh membawa manusia kembali kepada Allah SWT.
“Contohnya, di Aceh, Indonesia terdapat satu krisis tidak dapat diselesaikan namun selepas tsunami melanda, keamanan dan perdamaian itu berjaya diwujudkan. Ada negara meninggalkan agama, tapi selepas bencana mereka kembali memegang agama.
“Dunia adalah sementara, tiada apa yang istimewa berbanding akhirat. Kita diperintahkan untuk memakmurkan bumi dengan cara diredai Allah SWT bukannya menimbulkan kemurkaan Allah kepada kehidupan ini.
“Maka ambillah setiap ujian sebagai ingatan untuk kita membetulkan perjalanan hidup serta berusaha untuk mendapat tempat terbaik di akhirat kelak,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA
Bencana alam antara amaran Allah – Mufti
- Oleh SYED AZLAN SAYID HIZAR
- 20 Mac 2022, 3:15 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
KHAIRUL IDHAM MOHAMED ZARAAI
26 November 2024, 11:14 pm
KHAIRUL IDHAM MOHAMED ZARAAI
26 November 2024, 11:13 pm
Festival Warisan Nusantara 2024 di Perlis, festival terbesar rantau ini
26 November 2024, 10:50 pm