PENGGUNAAN kitab lama dalam pengajian Islam di negara ini semakin berkurangan dan perkara itu perlu diberikan perhatian serius oleh masyarakat.
Pengasas Maahad Tahfiz Qiam dan Pondok An-Nur, Batu Hampar, Beruas, Ustaz Sidek Mohd. Noor berkata, pembelajaran menggunakan kitab lama boleh menguatkan kefahaman umat Islam terutamanya dalam ilmu tauhid, fiqh dan tasawuf.
Kitab-kitab lama, kata Sidek, secara asasnya dikarang oleh ulama-ulama terdahulu yang menerima ilmu yang dipelajari daripada guru-guru mereka dan diturunkan generasi ke generasi.
“Mengikut adab, pertamanya ulama dapat ilmu daripada guru dan gurunya dapat daripada guru sebelum itu, bermakna ilmu itu bersambung.
“Cara mengaji pula kulit ke kulit, sepatah perkataan kepada satu patah perkataan, setiap patah perkataan itu diulas dan difahami maksudnya. Jadi, saya rasa dengan cara itu kefahaman kita memang kuat terutamanya dalam kitab-kitab asas penting iaitu ilmu tauhid, fiqh dan tasawuf,” jelasnya.
Sidek berkata, kaedah pembelajaran menggunakan kitab lama seperti zaman dahulu melahirkan umat Islam yang mempunyai pemahaman mendalam serta menguasai semua ilmu yang dipelajari.
“Pembelajaran kitab lama tidak menjuzukkan ilmu macam sekarang yang mana kita lihat terdapat fakulti yang ada usuludin, syariah dan tafsir.
“Sebaliknya kalau kita duduk belajar di sekolah pondok, semua ini tiada kerana pelajar diajar untuk menguasai semua ilmu tanpa dibahagi-bahagikan,” katanya.
Jelas beliau lagi, perkembangan ilmu yang berlaku selari dengan peredaran masa menyebabkan kitab lama semakin berkurangan dan dilupakan.
Katanya, penggunaan tulisan Jawi yang semakin berkurangan juga menjadi penyumbang kepada masalah itu selain tiada lagi kilang mencetak kitab lama di negara ini.
“Sebelum ini ada sebuah kilang cetak kitab lama di Pulau Pinang tapi sudah tutup kerana kitab lama tiada orang beli. Kalau kita fikirkan, ia betul kerana tiada orang nak mengaji dan membaca kitab lama dan kalau ada pun kitab lama ini hanya diajar di beberapa pondok sahaja,” katanya.
Menurut Sidek, masyarakat terutamanya umat Islam sepatutnya disedarkan kembali mengenai kepentingan mempelajari kitab lama supaya ia tidak ditelan zaman.
Katanya, dalam menghadapi suasana baru hari ini, asas-asas itu sudah ada cuma kena disesuaikan dengan masa kini.
“ Kita lihat bagaimana satu ketika dahulu semasa zaman penjajahan, penjajah membawa kitab-kitab lama di Indonesia dan Tanah Melayu pulang ke negara mereka kerana tahu ia bernilai,” katanya.
Sidek juga mencadangkan agar kitab-kitab lama dipelihara dan dicetak semula agar ia dapat dijadikan sebagai bahan pembelajaran.
“Kitab lama ini menggunakan tulisan lama dan kertas kurang berkualiti, jadi kita boleh usahakan mencetaknya kembali,” katanya.
Menurutnya, bagi memastikan kitab lama dipelajari generasi hari ini, beliau mengajarnya secara percuma di maahadnya di Beruas.
“Setakat ini ada 50 pelajar lelaki dan wanita. Saya mengajak sesiapa yang berminat mempelajarinya datanglah ke pondok ini,”katanya. – Mingguan Malaysia
Martabatkan kitab lama
- Oleh MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
- 6 Februari 2022, 4:00 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Tags: Memartabat kitab lama
BERITA BERKAITAN
Flat Pandan Mewah digempur, 400 warga asing diperiksa
27 November 2024, 8:09 am
Pencegahan jenayah dalam talian, pemulihan akidah pemimpin GISBH antara tumpuan Dewan Rakyat
27 November 2024, 8:08 am
500kg ikan temenung 30 sen seekor licin dalam dua jam
27 November 2024, 8:08 am