Jangan pandang rendah kesan dadah - Utusan Malaysia

Jangan pandang rendah kesan dadah

Ustaz Shaifudin Maulup
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
[email protected]
SEMUA pihak perlu bersama menggembleng tenaga dan berperanan dalam menangani isu pengambilan bahan terlarang termasuk dadah terutama dalam kalangan generasi muda hari ini.
Pengetua Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) Pondok Inabah, Labu, Negeri Sembilan, Ustaz Shaifudin Maulup berkata, membiarkan lebih ramai generasi muda terjerumus dalam masalah sosial itu hanya akan merugikan negara malah turut mendorong kepada masalah lebih besar apabila individu itu semakin meningkat usia.
“Pada 1983, kerajaan isytiharkan dadah musuh nombor satu negara tetapi di mana peranan semua? Jika ramai yang tidak menunjukkan minat, agenda untuk generasi muda bersih dadah tidak akan berlaku.
“Kita kena betul-betul menggembleng tenaga kerana anak-anak muda yang sudah rosak pada usia sebegini terutama berkaitan penyalahgunaan dadah, akan menjadi masalah besar pula kepada semua,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Tambahnya, remaja dan belia memang menjadi sasaran terjebak dengan dadah malah tidak terkecuali yang mempunyai latar belakang pendidikan agama.
“Jangan pandang rendah kesan dadah ini, saya lihat kita dari segi penguatkuasaan dan pemulihan golongan muda yang terlibat dengan dadah ini masih perlahan,” katanya.
Sementara itu, Shaifudin yang juga Pengerusi Jemaah Pengurusan, Pusat Pendidikan al-Irshad berkata, pusat tahfiz perlu kembali diperkasakan peranannya dalam melahirkan tahfiz berkualiti di sebalik beberapa isu sosial yang terpalit kepada institusi tersebut akhir-akhir ini.
Katanya, sistem pendidikan di pusat tahfiz sebenarnya sudah amat baik dan mencukupi untuk melahirkan golongan hafiz namun terdapat kelemahan dari segi individu yang mengisi sistem itu termasuk guru-gurunya.
“Apabila menjadi agamawan, kita membawa empat sifat rasul iaitu siddiq, amanah, tabligh, fathonah. Ulama ialah pewaris kepada nabi dan nabi tidak wariskan dinar, tetapi apabila kita sudah mula kejar itu (harta) anak murid juga akan terjebak.
“Sistem ini sudah cantik, kalau ikut sistem itu, walaupun setengah sahaja daripada sistem, tetapi dengan sifat amanah, selalu solat jemaah, bangun awal, membaca al-Quran, kita mampu lahirkan maruah pusat tahfiz itu.
“Maruah itu saya lihat sudah hilang, jihad kita sebagai agamawan juga sudah hilang, tetapi kita kena akui, ia tidak semudah seperti apa yang saya cakap ini,” katanya.
Tambahnya, golongan agamawan juga percaya kepada tentang barakah dan perkara tersebut dilihat semakin kurang ada pada guru-guru di pusat tahfiz.
“Segelintir ustaz tahfiz ini, hubungan mereka dengan guru yang mengajar mereka sudah tidak ada lagi, barakah guru sudah tiada. Golongan agamawan mesti percaya, barakah, doa, amanah, ini prinsip kita. Jika tiada ini, ada 20 universiti pun tidak mampu untuk melahirkan pelajar tahfiz yang bagus,” katanya.

Shaifudin Maulup
» Umur: 47 tahun
» Asal: Kampung Batu 10, Labu, Negeri Sembilan
» Jawatan: Timbalan Pengerusi Jemaah Pengurusan, Pusat Pendidikan al-Irshad, Pengetua PPDP Pondok Inabah, Labu, Negeri Sembilan.
» Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda al-Quran dan al-Qiraat, Universiti Al-Azhar, Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya