SEGALA musibah adalah peringatan Allah SWT kepada umat manusia dan berlaku dengan hikmah tertentu. Ujian tersebut juga salah satu cara Allah menghapuskan dosa-dosa hamba-hamba-Nya.
Imam Besar negeri, Ustaz Ahmad Sirajuddin Abdul Satar berkata, adalah penting bagi setiap insan memahami fiqhul bala iaitu musibah yang menimpa tidak kira sama ada banjir, tanah runtuh, mahupun wabak Covid-19.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) itu berkata, setiap individu tidak perlu menyalahkan satu sama lain.
“Bila berlaku musibah, kita perlu melihat daripada banyak sudut. Mengandaikan banjir besar yang melanda baru-baru ini hanya kerana satu sebab tertentu adalah tidak wajar.
“Ada beranggapan banjir ini mungkin kerana penebangan pokok yang tidak terkawal, ada juga anggap sistem perparitan tidak baik dan mungkin bagi golongan anti-vaksin pula menyifatkan musibah ini kerana tidak dibenarkan masuk ke masjid.
“Ia seperti meletakkan diri menjadi Tuhan yang tahu perkara ghaib. Sedangkan hanya Allah sahaja yang maha mengetahui.
“Bagi manusia, kita dituntut supaya sentiasa bermuhasabah, beristighfar, memohon dan mengadu kepada Allah SWT agar dipermudahkan segala urusan,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Anak jati Kedah dari Kampung Batu Hampar, Pendang ini turut mengingatkan, mereka yang tidak diuji dengan musibah jangan terlalu leka kerana mungkin Allah tidak kifaratkan dosa mereka di dunia ini.
“Sekurang-kurangnya orang yang diuji ini, Allah SWT sudah kifaratkan dosa mereka dan apabila mereka pulang ke akhirat nanti berada keadaan selamat dan seolah-olah telah dicuci dosa di dunia.
“Bagi mereka yang menerima ujian ini, maka terimalah dengan reda kerana sesungguhnya manusia yang paling berat ditimpa musibah adalah para Nabi, kemudian orang soleh,” ujarnya.
Dalam pada itu, anak keempat daripada enam beradik yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendang pada 1985 hingga 1990 itu turut mengingatkan sukarelawan yang membantu mangsa banjir agar meletakkan keikhlasan semasa melakukan kerja-kerja tersebut selain tidak mengharapkan ganjaran.
“Orang yang kena musibah banjir ini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga kerana bukan sahaja kehilangan rumah tetapi harta benda, malah ada juga kehilangan nyawa ahli keluarga.
“Ada pihak pada masa ini mengambil peluang untuk berkempen politik atau sesetengah lain pula mengumpul tanda suka di Facebook dan Tik Tok masing-masing.
“Ini semua ujian kepada sukarelawan kerana pada hari kita membantu orang, kita dapat pahala tetapi pada hari kita menunjuk pada orang, habis pahala itu ditarik balik disebabkan riak dan sombong selain menyalahkan orang lain yang tidak membantu,” kata beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi ini.
Ujian, satu cara penghapus dosa
- Oleh NUR NAZLINA NADZARI
- 9 Januari 2022, 4:15 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Anak mualaf medium dakwah berkesan
7 Januari 2024, 4:53 pm
Islam tidak larang berhibur, namun ada batasnya
17 Disember 2023, 2:37 pm
Nama yang elok satu doa untuk anak
19 November 2023, 6:12 pm