Sedekah tidak perlu tunggu kaya - Utusan Malaysia

Sedekah tidak perlu tunggu kaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEDEKAH adalah amalan mulia terutamanya dalam kalangan berkemampuan kerana ia bukan sahaja dapat mempertingkatkan keimanan tetapi juga membantu golongan susah yang memerlukan pertolongan.
Bagi orang yang memahami konsep sedekah, dia meyakini bahawa amalan terpuji itu bukan sahaja menyucikan diri dan harta, bahkan pahalanya berkekalan hingga ke hari pembalasan kelak.
Pun begitu walaupun ganjaran bersedekah amat besar pahalanya, Ketua Jabatan Agihan dan Pembangunan Asnaf Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Abdul Hadi Abd. Majid berkata, masih ramai mengambil sikap lewa tentang kebaikan bersedekah ini.
Beliau yang merupakan lepasan Universiti Al Iman, Sana’a, Yaman dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) berkata, banyak dalil daripada al-Quran dan hadis yang menyebutkan tentang kelebihan bersedekah.
Antaranya, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tiada satu pagi (hari) pun yang dilalui seorang hamba melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa. Ya Allah! Berikan kepada pemberi sedekah ganti (sedekahnya), manakala malaikat yang satu lagi berdoa, Ya Allah! Berikan orang yang menahan (sedekah dan kedekut) dengan kemusnahan.
Abdul Hadi yang juga bekas pelajar Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Pokok Sena, Alor Setar menambah, sedekah dapat menghapuskan dosa, mendapat naungan di akhirat, tidak akan berkurang harta, ubat kepada penyakit, selamat daripada musibah dan masuk ke syurga melalui pintu sedekah.
Bagaimanapun, katanya, terdapat dalam kalangan masyarakat hanya mahu bersedekah jika atau setelah mereka menjadi kaya. Sikap ini, terangnya, perlu diubah kerana tidak perlu menunggu kaya untuk melakukan sedekah.
“Kita perlu biasakan diri dengan bersedekah walaupun dalam jumlah kecil tetapi yang penting istiqomah setiap hari sehingga pintu rezeki terbuka luas seperti mana dibukanya syurga untuk golongan dermawan.
“Asbab sedekah ini juga akan memadamkan api keegoan, menggembirakan hati dan menghilangkan keresahan. Kalau ingin sedekah tunggu kaya dulu, maka akan kurang orang melibatkan diri membantu orang lain.
“Oleh itu sedekah ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja bila-bila masa tanpa menunggu menjadi kaya,” jelasnya ketika ditemui di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.
Dalam pada itu, tambahnya, dalam konteks bersedekah, seseorang itu tidak hanya boleh bersedekah dengan wang atau barang-barang. Katanya, harta bukanlah satu-satunya barangan untuk bersedekah. Bahkan banyak pilihan lain yang Allah berikan untuk bersedekah seperti memberikan idea dan motivasi, menolong orang mengangkat barang malah membuang kotoran di jalan turut dikira sebagai sedekah.
“Membantu mangsa banjir baru-baru ini di beberapa negeri jelas memperlihatkan amalan murni masyarakat dalam memberikan sumbangan tenaga,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, Rasulullah SAW menganjurkan amalan bersedekah diutamakan kepada pihak yang berada di sekeliling dahulu. Antaranya, adik beradik, sanak saudara, jiran serta masyarakat kampung dan seterusnya kepada masyarakat umum yang memerlukan.

ABDUL HADI ABD. MAJID

» Umur: 34 tahun
» Asal: Jitra, Kedah
» Pendidikan:
– Sekolah Kebangsaan Seri Muda
– Maahad Tarbiah Islamiah Derang,
Pokok Sena
– Universiti Al Iman,Sana’a,Yaman
– Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS)
» Tugas hakiki : Ketua Jabatan Agihan dan Pembangunan Asnaf, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya