UMAT Islam tidak terhindar dengan ketentuan yakni qada dan qadar Allah SWT termasuk musibah yang menyebabkan penderitaan dan kesusahan.
Ia sebenarnya adalah cabaran dan ujian-Nya yang perlu dilalui dengan tabah dan insaf. Surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut kepada musuh dan dengan merasai kelaparan dan dengan berlakunya kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”.
Berkongsi bicara dengan Mingguan Malaysia, Mudir Madrasah Misbahul Ulum Dalam Rhu, Ustaz Mohd. Fahmi Che Elias berkata, sifat sabar dan tabah menghadapi apa jua musibah termasuk banjir yang berlaku amat perlu. Ketabahan dan ‘takarrub’ kepada Allah membolehkan individu menjadi hamba yang reda terhadap ketentuan, apa lagi sebagai manusia yang tiada upaya menahan kehendak-Nya.
“Kesabaran ini akan meningkatkan martabat seseorang, mengikis rasa kecewa, putus asa dan resah gelisah dalam menghadapi dugaan.
“Sesungguhnya, Allah SWT mencintai orang yang sabar dan sentiasa bersama-sama mereka, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali ‘Imran ayat 146,” katanya.
Mohd. Fahmi berkata, bergantung kepada tahap keimanan individu untuk menafsirkan sesuatu ujian itu sebagai dugaan mahu pun bala dari Allah termasuk melibatkan rumah terbakar, banjir besar yang meragut nyawa serta kehilangan harta benda.
Tambahnya, yakin bahawa apa yang ada sebenarnya adalah pinjaman daripada Allah yang boleh ditarik balik menerusi pelbagai takdir yang ditentukan, kaya atau miskin dalam hidup ini bukan ukuran yang hakiki.
“Justeru kita perlu pasrah. Hati perlu reda dan sabar dengan setiap ujian. Kita perlu muhasabah diri untuk perelokkan semula amalan kita yangmungkin ada kekurangan.
“Sekiranya ada kemaksiatan dan ‘subahah’ dilakukan, wajib berhenti dan segerakan bertaubat. Jika ada amalan kebaikan yang kita lakukan, perbanyakkan lagi. Yakin apa yang Allah ambil itu ada benarnya. Bersangka baik dan Allah akan kembalikan semula dengan sesuatu yang lebih baik,” katanya.
Mohd. Fahmi berkata, mereka yang tidak ditimpa musibah banjir turut diuji sama ada kikir atau sombong diri untuk membantu mereka yang kesusahan.
Dengan kata lain, tambahnya, menguji orang yang tidak terkena tempias musibah untuk tidak kikir bersedekah dan membantu demi kesejahteraan sesama manusia.
Mohd. Fahmi turut menasihatkan agar semua pihak muhasabah kembali terhadap ketentuan itu agar pahit getir dugaan yang dilalui akan disusuli impak yang amat bermakna dalam meningkatkan martabat keimanan.
Katanya, pastikan tiada kemungkaran dan kemaksiatan yang bermaharajalela dalam komuniti. Tingkatkan amal makruf dan tinggalkan larangan-Nya.
“Bala tidak mengenai siapa, semua akan menjadi mangsa disebabkan kealpaan manusia yang mungkin bertuhankan nafsu, harta dan keduniaan. Masjid kurang dikunjungi dan doa kesejahteraan kurang dipinta,” katanya.
USTAZ MOHD. FAHMI
CHE ELIAS
»Umur: 35 tahun
»Asal: Kuala Lumpur
»Pendidikan :
Sekolah Kebangsaan Taman Tasik, Ampang,Kuala Lumpur.
Sekolah Rendah Islam Sri Annur, Kota Bharu, Kelantan.
Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, Selangor.
»Pengalaman kerja:
Maahad Tahfiz Miftahul Ulum, Ulu Langat 2008-2015
Pengasas dan mudir Maahad tahfiz Annur, Gombak
Mujammah Darul Hadis Malaysia cawangan Kelantan
»Tugas hakiki: Mudir Madrasah Misbahul Ulum Dalam Rhu, Pasir Puteh, Kelantan.