Bekerja sebagai satu ibadah - Utusan Malaysia

Bekerja sebagai satu ibadah

USTAZ HUSNUL FIKRI HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IBADAT dalam Islam tidak hanya tertumpu kepada amalan seperti solat, puasa, menunaikan haji dan sebagainya.
Ia sebenarnya merangkumi semua aspek kehidupan termasuk siasah, mengurus dan mentadbir negara. Ibadat atau dalam bahasa Arabnya disebut ibadah membawa maksud ketaatan dan penghambaan.
Tidak kira dalam posisi mana kedudukan kita dalam sesebuah komuniti atau organisasi, segala kelakuan dan kerja hendaklah berteraskan amalan soleh yang bersifat sepadu antara duniawi dan ukhrawi, rohani dan jasmani.
Guru Pendidikan Agama Islam, Ustaz Husnul Fikri Husain berkata, para ulama mentafsirkan ibadat sebagai segala bentuk aktiviti dan perbuatan yang mendapatkan keredaan, kasih sayang dan rahmat Allah SWT sama ada dalam bentuk amalan atau ucapan yang zahir mahupun batin.
Bekerja juga, katanya, adalah kewajipan yang mendapat ganjaran pahala dan keredaan-Nya selain menerima upah atau gaji daripada majikan.
Menurut Husnul Fikri, individu sudah memikul amanah untuk bekerja dengan ‘betul’ kerana ia adalah ibadah dalam menunaikan tanggungjawab yang diberikan.
“Digariskan dalam Islam beberapa perkara yang mesti ada dalam diri individu Muslim dalam melaksanakan pekerjaan untuk mendapatkan rezeki halal, keredaan Allah SWT dan ada keberkatannya.
“Membaca doa ketika keluar rumah beserta niat untuk mendapat keredaan Allah SWT perlu diamalkan. Dari Abu Masud RA berkata, Nabi SAW bersabda : Apabila seseorang lelaki memberi nafkah kepada keluarganya dengan ikhlas maka (pahala) nafkah itu sama ganjarannya dengan (pahala) sedekah. (HR Bukhari),” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Tambah Husnul Fikri, niat amat penting dijadikan pemangkin sebelum melaksanakan sesuatu perkara kerana ia boleh membezakan antara amal ibadat dengan amalan biasa.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Daripada Amri Mukminin Abi Hafz bin Khatab RA dia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, sesungguhnya setiap perbuatan bergantung kepada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang akan dibalas berdasarkan apa yang ia niatkan.
Tambah Husnul Fikri, pemahaman bekerja sebagai ibadah juga akan menyerlahkan hasil yang berkualiti, tidak melakukannya dengan sambil lewa malah lebih bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan.
Menurutnya, kefahaman ini akan memupuk kejujuran, sikap amanah, tidak ‘curi tulang’ dan tidak sesekali menyalahgunakan kuasa termasuk menghakis kemahuan terhadap keinginan melakukan rasuah ketika melaksanakan tanggungjawab.
“Harus diingatkan jangan sesekali menjadikan kesibukan bekerja itu sebagai alasan untuk meringankan perintah utama Allah SWT termasuk melengah-lengahkan atau meninggalkan solat fardu lima waktu.
“Sebagai orang Islam kita perlu sentiasa bersyukur dalam setiap rezeki yang dinikmati sama ada manfaat gaji atau upah yang diterima,” ujarnya.
Katanya, mereka yang sentiasa bersyukur dan berniat melakukan pekerjaan kerana Allah SWT pastinya akan mendapat kedua-dua ganjaran di dunia dan akhirat.

USTAZ HUSNUL FIKRI HUSAIN
» Asal: Bachok, Kelantan.
» Usia: 41 tahun
» Latar belakang pendidikan:
Sekolah Kebangsaan Tiong, Kota Bharu (1992) Maahad Muhammadi Lelaki (1993-1999) Universiti Al-Azhar, Mesir dalam jurusan Syariah Islam (2000-2004)
» Tugas hakiki: Guru Bahasa Arab dan Pendidikan Agama Islam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya