Menjiwai semangat Perlembagaan dalam isu lesen judi - Utusan Malaysia

Menjiwai semangat Perlembagaan dalam isu lesen judi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tindakan kerajaan negeri Kedah yang baru-baru ini tidak akan memberi kelulusan lesen premis judi di negeri itu, mengundang pelbagai pandangan.
Menurut Pengarah di Institut Fatwa dan Halal (IFFAH) yang juga Profesor di Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr. Irwan Mohd. Subri, 45, dengan mengambil semangat Perlembagaan, maka perdebatannya boleh dileraikan.
Katanya, judi diketahui mempunyai kesan buruk yang banyak kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara.
“Apabila kerajaan negeri Kedah, bahkan mana-mana kerajaan negeri hendak hentikan lesen judi, ia patut disokong. Dari segi kuasa, sesebuah negeri boleh dan berhak menggubal atau memperkenalkan serta menguatkuasakan undang-undang atau peraturan bagi negerinya.
“Antara yang termasuk dalam senarai negeri yang dijamin Perlembagaan Persekutuan adalah peraturan-peraturan kerajaan tempatan dan pihak berkuasa tempatan. Ia untuk menjamin kesejahteraan rakyat di negeri itu.
“Ia selari dengan kaedah fiqh tasarruf al-imam manut bi al-maslahah yang bermaksud tindakan pemimpin hendaklah berdasarkan kepentingan (bagi rakyat).” jelasnya.

SYARAK
Katanya, sebagai individu Muslim, larangan syarak melalui pengharaman berjudi dalam surah al-Ma’idah ayat 90 sudah mencukupi.
“Ia perkara asas yang diketahui oleh Muslim dan bukan Muslim, dan ia perlu dihormati. Bebas daripada judi akan memantapkan kesejahteraan harta dan mental masyarakat. Ini menepati konsep objektif Syariat Islam (Maqasid Syariah),” jelasnya.
Beliau berkata, pihak Kerajaan Persekutuan sudah merangka perancangan baharu penjanaan ekonomi negara selain daripada cukai perjudian, sekali gus memberi alternatif kepada sumber kewangan negara.
“Hal ini kerana dengan terus memberikan lesen perjudian, kerajaan tidak menyokong kesejahteraan harta dan mental masyarakat walaupun kerajaan mendapat pulangan cukai perjudian dari sudut lain. Dalam erti kata lain, ia bukan sifat keprihatinan yang baik oleh kerajaan,” tegasnya.

BERTOPENGKAN HAK ASASI
Menyentuh soal pandangan bahawa tindakan kerajaan negeri Kedah itu menghalang hak asasi manusia, beliau berkata, tidak ada hak asasi secara mutlak dalam mana-mana perundangan di semua negara.
“Slogan hak asasi manusia ini hanya berselindung di sebalik tujuan untuk bebas daripada undang-undang. Ramai pihak berhujahkan dengan Perlembagaan Persekutuan untuk slogan hak asasi manusia termasuk dalam kes judi ini.
“Namun Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dibaca secara bersendirian dan berasingan. Ia perlu dibaca bersekali dengan semua akta yang telah digubal oleh Dewan Rakyat. Juga perlu difahami tentang bidang kuasa Senarai Persekutuan dan Senarai Negeri,” katanya. – Mingguan Malaysia

Prof. Dr. Irwan Mohd. Subri
» Umur: 45 tahun
» Kareer: Pengarah, Institut Fatwa dan Halal (IFFAH) serta Profesor, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
» Jawatan dalam pertubuhan: Setiausaha, Akademi Fiqh Islami Malaysia (AFHAM).
» Latar belakang akademik
2011: Doktor Falsafah (Fiqh dan Usul), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
2002: Sarjana Pengajian Islam (Syariah), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
1996: Sarjana Muda (Kepujian) Syariah Islamiyyah, Universiti al-Azhar

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN