KETIKA ini, umat Islam bagaikan dilanda perpecahan akibat perselisihan faham dan perbezaan pendapat daripada sekecil-kecil hal kepada perkara lebih besar sehingga mewujudkan persengketaan.
Lebih menggusarkan, keretakan hubungan akibat perbezaan pendapat itu menjadi lebih parah termasuk campur tangan banyak pihak yang hanya menambah ketegangan dan bukannya meredakan keadaan.
Penulis dan pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil berkata, perselisihan faham mahupun perbezaan pendapat seharusnya tidak melarat sehingga memutuskan hubungan silaturahim sesama umat Islam.
Selain itu, katanya, perselisihan faham di peringkat keluarga juga tidak perlu untuk terbawa-bawa sehingga mengundang kebencian.
“Masyarakat kita, kadang kala lupa, sebenarnya kita lahir daripada satu nasab yang sama dan menghukum pihak lain dengan memutuskan hubungan kekeluargaan bukanlah penyelesaian terbaik.
“Begitu juga dengan perbezaan pendapat sama ada daripada konteks politik, pemikiran dan sebagainya.
“Sebenarnya perbezaan pendapat ini bagus untuk percambahan idea, namun lebih indah sekiranya perbezaan pendapat atau sesuatu perdebatan itu disulami dengan kasih sayang,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Ahmad Adnan, sebanyak 113 dari 114 surah di dalam al-Quran dimulai dengan nama Allah SWT al-Rahman dan al-Rahim.
Katanya, perkataan al-Rahman dan al-Rahim itu sendiri merujuk kepada akar kata yang sama iaitu rahmah yang memberi maksud riqqah (kelembutan), syafaqah (belas kasihan), ihsan (simpati, memberi kebaikan) dan maghfirah (mengampunkan, memaafkan).
Ujarnya, semua makna tersebut menunjukkan kasih sayang Allah SWT.
“Dalam banyak nama yang indah, nama al-Rahman dan al-Rahim itu juga dipilih Allah SWT untuk sentiasa meniti di bibir hamba-hamba-Nya yang taat, tidak hanya ketika membaca al-Quran, tetapi juga setiap kali memulai urusan dalam kehidupan seharian.
“Dapat dilihat al-Quran mengajar kita bahawa kehidupan ini sarat dengan kasih sayang, elemen ini sebenarnya dapat menyatukan dan memperkasakan ummah dalam menghadapi zaman yang serba mencabar dan dipenuhi fitnah.
“Tahap paling rendah dalam menjaga perhubungan atau ukhuwah adalah dengan berlapang dada manakala tahap tertinggi disebut itsar iaitu sanggup berkorban demi sahabat seperti yang dilakukan golongan Ansar ketika menyambut ketibaan rombongan Muhajirin dari Mekah ke Madinah,” ujarnya.
Katanya lagi, penerapan sifat berlapang dada saat berdepan dengan ujian fitnah mahupun kritikan akibat perbezaan pendapat adalah satu permulaan yang baik.
Jelasnya, tidak perlu mengeluarkan kenyataan berbaur kebencian terhadap pihak lain.
“Seandainya perkara yang tidak tepat dilontarkan pihak lain kepada kita, usahlah kita melatah serta membalas dengan tohmahan, sebaliknya bertemu atau berhubung dengan pihak itu mendengar serta memberikan penjelasan untuk menjernihkan keadaan,” katanya.
Ustaz Ahmad Adnan Fadzil
»Umur: 48 tahun
»Latar belakang pendidikan:
Sekolah Menengah Agama Alawiyah, Arau, Perlis
Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor
Universiti al-Azhar, Mesir (Ijazah Perundangan Islam)
Open Universiti Malaysia (Sarjana Pengajian Islam)
Sedang menyiapkan sarjana kedoktoran falsafah di Universiti Utara Malaysia (UUM) (Muamalat dan Perbankan Islam)
»Tugasan hakiki: Penulis dan pendakwah bebas