Didik masyarakat jadi celik al-Quran - Utusan Malaysia

Didik masyarakat jadi celik al-Quran

Ustaz Ahmad Saiful Jamaluddin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERPEGANG kepada pesanan ayahnya yang mahu melihat masyarakat celik al-Quran, Ahmad Saiful Jamaluddin, 35, berbakti kepada masyarakat setempat dengan mengajar membaca kitab suci itu secara percuma di sekitar Bagan Serai, Perak.
Sebelum bergelar guru al-Quran, Ahmad Saiful atau lebih dikenali Ustaz Saiful terlebih dahulu melengkapkan diri dengan ilmu agama dengan belajar di beberapa sekolah agama.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Matang Buluh di Bagan Serai, dia kemudian melanjutkan pelajaran di Madrasah Irsyadiah Al-Asyraf Al-Wataniah Pondok Sungai Bakap di Pulau Pinang selama lapan tahun. Setelah tamat pengajian di situ dengan mendapat kelulusan empat Thanawi dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), dia memohon memasuki Kor Agama Tentera Darat (Kagat). Namun, semasa menjalani kursus, dia mendapat kecederaan pada kakinya, menyebabkan tidak dapat meneruskan cita-citanya di Kagat.
Dia akhirnya mendapat tawaran bekerja sebagai Penolong Kanan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Nurul Falah, Nibong Tebal di Pulau Pinang sebelum ditukarkan ke SAR Permatang Tok Mahat di Bagan Serai sehingga kini. Kini, dia memenuhi jadual hariannya mengajar al-Quran, fardu ain dan hal berkaitan fardu kifayah kepada penduduk setempat di situ.
Menurutnya, dia berbuat demikian bagi memenuhi hasrat bapanya, Jamaluddin Mohammad yang mahukan dia berbakti kepada masyarakat dalam membaca al-Quran .
“Bapa mahu melihat masyarakat celik al-Quran sama ada golongan muda atau telah berusia,” katanya ketika ditemui di Bagan Serai.
Menurutnya, dia juga mengajar di Pondok Haji Din yang dibina sendiri oleh ayahnya di Kampung Alor Singa, Bagan Serai pada 2014.
Katanya, seramai 45 pelajar mengikuti kelas membaca al-Quran pada setiap sesi sehingga mereka khatam al-Quran. Selain mengajar al-Quran, dia juga memimpin majlis bacaan selawat pada setiap malam Jumaat, selepas majlis membaca Yassin mingguan selain mengadakan program kiamullail di Surau Kampung Alor Singa pada setiap malam Ahad.
Menurutnya, masyarakat hari ini tidak seharusnya leka sehingga mengabaikan ilmu agama. Sebagai orang Islam, tidak sepatutnya ada yang tidak tahu langsung asas fardu ain dan bersolat dengan betul.
“Tidak tahu adab dan tertib bersolat, gagal menghafal doa Qunut dan tidak tahu membaca al-Quran, ini menjadi kerisauan saya termasuk ayah saya juga.
“Kerana kerisauan inilah ayah membina pondok kecil untuk mengajar membaca al-Quran di Kampung Alor Singa dan saya menjadi tenaga pengajarnya secara sukarela. Mereka yang datang belajar tidak dikenakan bayaran,” katanya.
Menurutnya, selain mengajar di pondok bapanya, dia juga mudir kelas al-Quran untuk kanak-kanak di masjid daerah Bagan Serai yang diadakan pada setiap Isnin sehingga Jumaat selepas solat Maghrib yang diadakan secara percuma.
Katanya, beliau turut mengajar tata cara pengurusan jenazah selain mengadakan aktiviti memanah, iaitu aktiviti yang merupakan sunnah Nabi Muhammad.
“Jika tidak tahu membaca al-Quran atau tiada ilmu agama, jangan malu belajar Berjumpalah dengan guru agama, ilmu agama penting dan lebih penting adalah mengamalkannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya