PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah dan akan meneladani inisiatif serta strategi dilaksanakan Rasulullah SAW sebagai panduan dalam pentadbiran negara, demi kemakmuran Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri berkata, ia sebagai satu kepercayaan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah suri teladan yang terbaik umat manusia.
Untuk tujuan itu, beliau berkata, pelbagai polisi, inisiatif dan insentif akan diperkenal dan dirancang kerajaan, demi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia ketinggalan dalam merasai nikmat serta kemakmuran negara, ‘No one will be left behind’.
Menurut beliau, tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti, membawa kepada norma hidup yang menekankan prinsip Dasar Manhaj Rabbani iaitu Rahmat, Aman, Bertuhan, Bakti, Adil, dan Insani.
“Kesemua nilai ini, selari dengan Konsep Keluarga Malaysia yang menekankan tentang tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran di samping 20 nilai lain seperti amalan ihsan, beriman, kasih sayang serta bermusyawarah.
“Tema ini juga selari dengan Dasar Perpaduan Negara berkonsepkan, Perpaduan Dalam Kepelbagaian yang mana perpaduan dan integrasi nasional telah lama diamalkan di negara ini termasuk dalam sambutan Maulidur Rasul,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1443 Hijrah, hari ini.
Ismail Sabri berkata, pengiktirafan kerajaan melalui penganugerahan Tokoh Maulidur Rasul kepada insan yang banyak berbakti kepada masyarakat merentasi agama dan bangsa, secara langsung menyumbang ke arah melahirkan generasi Malaysia yang memiliki semangat perpaduan dan kebersamaan serta saling menghormati selari dengan konsep Keluarga Malaysia.
Kata beliau, dalam mengharungi krisis berkembar ekonomi dan kesihatan yang mencabar ketika ini, sebagai Keluarga Malaysia, semua perlu berganding bahu untuk memulihkan negara selain menyesuaikan diri dalam norma baharu.
Jelasnya, apa jua perbezaan perlu dijadikan sebagai kelebihan dan bukannya kelemahan, manakala sebarang persamaan dijadikan sebagai sumber kekuatan dengan menjalikan dan mengukuhkan kembali perpaduan dengan ikatan kasih sayang dan toleransi sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang besar.
Perdana Menteri pada masa sama berkata, kemuliaan umat Islam, bahkan jatuh bangun sesebuah bangsa serta negara adalah terletak kepada kesatuan dan kesepaduannya.
Katanya, Rasulullah SAW misalnya, mengadakan perjanjian damai dengan pelbagai suku kaum yang tinggal berhampiran Madinah di wilayah utara dan selatan untuk meningkatkan kesefahaman dan memperbaharui hubungan berlandaskan prinsip kebenaran serta menghindar kekacauan selain pertembungan kuasa.
“Jangan kerana kita berbeza pendapat, berlainan wadah atau cara pendekatan, menyebabkan hilang nilai ukhuwah dan semangat perpaduan yang sekian lama terjalin.
“Siapa pun kita, sama ada seorang bapa, ibu, anak, jiran, pekerja, ketua di pejabat, pemimpin masyarakat, pemimpin agama atau pemimpin politik, masing-masing perlu memainkan peranan untuk memulihkan kembali negara ini demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE