WALAUPUN zaman semakin moden, namun masih terdapat dalam kalangan umat Islam yang masih mempercayai amalan-amalan khurafat sehingga boleh merosakkan akidah.
Kejahilan segelintir umat Islam itu terhadap ilmu agama menyebabkan mereka mudah dirasuk dengan amalan tersebut yang sudah berakar umbi sejak sekian lama.
Menurut Pengerusi Persatuan Tahfiz Al-Quran Kedah (Petanda), Tuan Guru Mohammad Yaakob, 61, dari Baling, Kedah, khurafat adalah kepercayaan karut atau tahyul yang diada-adakan berpandukan kepada perbuatan-perbuatan dan kejadian alam.
Katanya, khurafat diketahui ramai berkaitan cerita rekaan, adat istiadat, ramalan dan pemujaan yang menyimpang daripada ajaran Islam.
“Banyak contoh khurafat yang masih diamalkan oleh masyarakat hari ini seperti amalan pemujaan yang masih berleluasa seperti di tempat sunyi atau di pergunungan.
“Tujuan pemujaan itu kononnya untuk mengubati penyakit atau memohon mencari harta karun.
“Malah difahamkan amalan pemujaan itu masih berlaku di Gunung Jerai, Yan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Baling baru-baru ini.
Menurut Mohammad, tidak hairanlah dengan amalan seperti itu menyebabkan Allah SWT murka hingga berlakunya perkara tidak diingini dan manusia terpaksa menanggung risikonya.
“Tragedi kepala air di Gunung Jerai boleh diambil ikhtibar oleh masyarakat umat Islam kerana perkara khurafat di kawasan gunung tersebut masih berleluasa dan sukar dikawal hingga mengundang bala.
“Peristiwa itu adalah tanda kekuasaan dan takdir Allah menyebut bahawa aku akan turunkan bala kepada makhluknya yang tidak seumpama ditimpa kepada umat terdahulu. Sesungguhnya bahawa Allah sedang menguji manusia,” katanya.
Tambahnya, ia boleh dirujuk kepada ayat 155- 156 surah Al Baqarah yang bermaksud : “Dan sungguh Kami akan menguji kalian dengan sedikit rasa takut dan rasa lapar, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan khabar gembira untuk orang-orang bersabar.
Jelas Mohammad, khurafat adalah amalan kaum jahiliah sejak dahulu lagi dan masih diamalkan oleh masyarakat hari ini.
Begitu juga, katanya, dengan mereka yang mengamalkan perubatan bomoh untuk menyembuhkan penyakit misteri hingga tergadai akidah seseorang itu.
“Pesakit sanggup melakukan apa sahaja bagi mengubati penyakit misteri yang mereka hadapi hingga sanggup memohon kuasa makhluk halus untuk memulihkannya. Perbuatan seperti ini sudah tergelincir daripada akidah hingga boleh membawa syirik kepada Allah,” terangnya.
Katanya, Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bersabda: “Menyandarkan keburukan kepada sesuatu adalah syirik dan tidak termasuk ke dalam golongan kami melainkan mereka yang beriman sahaja. Sesungguhnya Allah menghilangkan syirik itu dengan tawakal”.
Tambahnya, dalam surah Al-Nisa ayat 48 : “Allah tidak ampunkan dosa syirik sementara Dia memaafkan dosa-dosa yang lain. Maka sesiapa yang mempersekutukan (syirik) kepada-Nya sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.”
Justeru, Mohammad berkata, hari ini manusia perlu banyak mengingati Allah SWT dan peranan ulama penting dalam membimbing masyarakat untuk berada di titian agama yang sebenarnya.
“Masyarakat hari ini perlu berhijrah daripada mengamalkan khurafat ke arah nilai Islam yang lebih baik sesuai dalam kehidupan dan lebih bertamadun,” ujarnya.
TUAN GURU MOHAMMAD
YAAKOB
»Usia: 61 tahun
»Tempat Tinggal: Baling, Kedah
»Pendidikan: Ijazah Bahasa Arab , Kesusasteraan dan Pengajian Islam dari Universiti Islam Antarabgsa (UIA)
»Jawatan: Pengerusi Lembaga Tadbir Pusat Pengajian dan Pendidikan Darul Hijrah, Baling
Pengerusi Persatuan Tahfiz Al-Quran Kedah (Petanda)