Ikhlas bersedekah, jangan menunjuk - Utusan Malaysia

Ikhlas bersedekah, jangan menunjuk

Ustaz Wan Mohamed Syahir Wan Mahmood
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INFAK atau bersedekah akan memberi kesan positif terhadap pemberinya sama ada di dunia, mahupun ganjaran pahala berlipat ganda dan berterusan yang amat diperlukan sebagai sukatan amal yang fardu ke atas umat manusia.
Berkongsi bicara mengenai kelebihan dan asbab infak bersama Mingguan Malaysia baru-baru ini, Imam Muda Masjid Ibrahim Pasir Puteh, Kelantan, Ustaz Wan Mohamed Syahir Wan Mahmood berkata, ganjaran pahala bersedekah mengalir berpanjangan berteraskan keikhlasan pemberi.
Menurutnya, tiga perkara utama yang menjadi jalinan hubungan duniawi dan ukhrawi telah digarapkan oleh Rasulullah SAW dalam sabda Baginda bermaksud –
Dari Abi Huhairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia,maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”. (Muslim, Sahih Muslim bi sharh al-Imam Muhyiddin al-Nawawi, Kitab wasiyyah).
Tambah Wan Mohamed Syahir, pahala infak itu akan mengalir berterusan sekiranya sedekah yang dihulurkan ikhlas, tidak menunjuk kepada umum (riak) dan tidak meninggalkan solat lima waktu.
Katanya, sedekah jariah, menyampaikan ilmu kepada orang ramai dan mendidik anak tampil soleh dan solehah yang mendoakan kebaikan kepada ibu bapa mereka sama ada masih hidup atau meninggal dunia adalah sebahagian amal makruf dianjurkan Islam.
“Dalam konteks pandemik Covid-19 di negara kita, dilaporkan banyak pusat tahfiz yang terkesan dan memerlukan pembiayaan termasuk Pusat Tahfiz Masjid Ibrahimi di Pasir Puteh. Ini peluang kepada orang ramai untuk berinfak agar institusi melahirkan hufaz dan pelapis ulama terus berfungsi.
“Selagi mana bantuan atau sedekah yang disalurkan itu digunakan untuk anak-anak tahfiz, pahalanya akan mengalir berterusan sehingga para hufaz yang dibantu tampil sebagai alim ulama dan menyebarkan syiar Islam,” katanya.
Menurutnya, kesan ekonomi ibu bapa yang rata-rata miskin dan terkesan termasuk anak-anak yatim yang hilang tempat pergantungan memerlukan sedekah  daripada mereka yang berkemampuan, dermawan dan jutawan dengan meneruskan tajaan pengajian pelajar tahfiz.
“Begitu juga usaha melegakan kehidupan asnaf dan mereka yang terkesan sepanjang pandemik dengan menyalurkan bakul makanan dan keperluan asas adalah sebahagian amal yang terbaik dilakukan,” ujarnya
Katanya, ada dalam kalangan hamba Allah yang telah merasai nikmat bersedekah, menjadikan infak sebagai satu amalan ikhlas terutama membantu kerja amal agama tanpa mengira had jumlahnya selain bertegas tidak mahu diumumkan amalannya demi menjaga hati dari keterlanjuran riak.
“Keajaiban bersedekah lazimnya akan menambah rezeki pengamalnya, namun ramai yang salah faham berkaitan jaminan Allah SWT dengan mentafsir ‘rezeki’ itu dalam konteks yang sempit. Dah beri sedekah tapi tak kaya-kaya?
“Pada hal rezeki yang dinikmati asbab sedekah adalah luas bukan hanya dalam konteks material tetapi limpah kurnia kesihatan, ketenangan hidup dan pelbagai.
“Asbab bersedekah menjadikan isteri bertambah solehah, daripada tak pakai tudung bertindak menutup aurat, anak yang sakit tampil sihat, jiwa kita yang kusut, gundah dan gelisah menjadi tenang. Lebih kepada keberkatan hidup. Rezeki yang dilimpah kurnia Allah SWT adalah bermacam-macam nikmat lagi,” jelasnya.
Namun, katanya, trend masa kini ramai individu yang bersedekah tetapi menyaksikan  amalan rutin memaparkan perbuatan itu dalam media sosial dan ini seharusnya diperbetulkan.
Katanya, paling indah jika amalan bersedekah itu dirahsiakan iaitu seperti tangan kanan memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya.
“Paling utama jangan ‘culas’ menunaikan solat lima waktu kerana ia adalah tiang agama. Kehidupan lebih indah dan tenang kiranya diiringi pula dengan amalan mulia khususnya bersedekah,” ujarnya.

USTAZ WAN MOHAMED SYAHIR WAN MAHMOOD
»Umur: 28 tahun
»Latar belakang pendidikan:
 Sekolah Kebangsaan Sultan Yahya Petra, Kuala Krai
 Maahad tahfiz Sains, Tanah Merah
 Darul Quran Jakim Kuala Kubu Baru, Selangor – Diploma al-Quran
 Darul Mustofa Yaman – Lughah (bahasa Arab)
Universiti Kebangsaan Malaysia – Ijazah Sarjana Muda (kepujian)  Pengajian Islam – Jurusan Dakwah dan Kepimpinan
»Pengalaman kerja:
Guru di Sekolah Menengah Tahfiz Integrasi, Bangi Sentral
Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam
»Tugas hakiki terkini:
Imam Muda Masjid Ibrahimi Pasir Puteh, Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya