Lahirkan profesional hafal al-Quran - Utusan Malaysia

Lahirkan profesional hafal al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Oleh MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
[email protected]
BEBERAPA  dekad lalu pengajian di sekolah aliran agama atau maahad tahfiz dipandang sepi oleh segelintir masyarakat kerana dikatakan pengajian kelas kedua. Pengajian di maahad  tahfiz itu dilabelkan sebagai mementingkan  ke arah akhirat sahaja dan tidak seimbang dengan dunia menyebabkan tiada jaminan kepada anak-anak untuk masa hadapan.
Bagaimanapun, tanggapan itu kian berubah apabila ibu bapa melihat penglibatan anak-anak mereka dalam dunia sosial semakin membimbangkan.
Ini menyebabkan aliran agama khususnya pendidikan tahfiz dikatakan mampu mencorak kehidupan yang lebih sempurna menjadi pilihan ibu bapa hari ini.
Perkara itu diakui oleh Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Derga di Alor Setar, Kedah, Yahya Saad,73 yang  kagum dengan minat ibu bapa mahu menghantar anak-anak mereka mendapat pendidikan menghafaz al-Quran.
Katanya, ibu bapa percaya pendidikan agama perlu diberikan sejak awal kepada anak-anak mereka dan maahad tahfiz merupakan pilihan terbaik.
“Ini menunjukkan sekolah aliran menghafaz al-Quran sudah mendapat tempat di hati ibu bapa dalam melahirkan anak-anak mereka menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.
“Oleh itu, tidak hairanlah ada sesetengah sekolah aliran agama itu terpaksa melakukan temuduga terlebih dahulu bagi menapis pelajar cemerlang untuk mengikuti  hafazan di sekolah mereka,” katanya ketika ditemui di Maahad Tahfiz Al-Quran Derga, baru-baru ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Tahfiz al-Quran Kedah (Petanda) menambah, maahad tahfiz juga semakin banyak tumbuh seperti cendawan selepas hujan di seluruh negeri dengan dipantau oleh Jabatan Agama Islam di setiap negeri.
Ini kerana, katanya, jumlah pelajar yang memohon semakin tinggi atas galakkan ibu bapa yang mahukan jiwa anak-anak mereka diisi dengan ayat-ayat al-Quran.
Katanya, hadis daripada Muaz bin Anas , Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya maka pada hari kiamat nanti kedua ibu bapanya akan dipakai mahkota (Tijaan Annur) yang  sinarnya lebih terang daripada matahari yang berada di rumah kita.
“Berpegang kepada ini, Ibu bapa hari ini mahukan anak-anak mereka bukan sahaja berjaya di dunia malah di akhirat. Ini menyebabkan maahad tahfiz hari ini semakin mendapat sambutan dalam kalangan ibu bapa,” tambahnya.
Selain itu, menurut Yahya, kebanyakan maahad tahfiz yang dikendalikan pihak kerajaan atau swasta kini turut menawarkan hafazan dan aliran sains untuk pelajar-pelajarnya.
Katanya, langkah tersebut menunjukkan kesungguhan kerajaan mengangkat maahad tahfiz dengan mewujudkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) bagi melahirkan tahfiz berdaya saing dalam pasaran pekerjaan pada masa akan datang.
“Silibus yang diperkenalkan itu sudah pasti menjadikan maahad tahfiz mampu melahirkan pelajarnya yang berjaya di dunia dan akhirat seperti yang dituntut agama,” ujarnya.
Beliau percaya DPTN mampu melahirkan golongan profesional seperti jurutera, akauntan , doktor dan  pengamal  undang-undang yang mampu menghafaz
al-Quran seperti mana yang terdapat di Asia Barat.

Yahya Saad
» Usia: 73 tahun
» Bekas pesara kerajaan
» Pengasas Maahad Tahfiz Al-Quran Derga
» Timbalan Pengerusi Persatuan Tahfiz Al-Quran Kedah (Petanda)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya