Kenangan 20 tahun bersama ulama - Utusan Malaysia

Kenangan 20 tahun bersama ulama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERKHIDMAT sebagai orang kepercayaan kepada ulama disegani di Perak, Allahyarham Tuan Guru Hamdan Idris, menjadi kenangan bermakna dalam hidup bekas Naib Kadi, Zawawi Abd. Kader.
Zawawi, 69, yang kini Imam Masjid Kampung Bahagia, Teluk Intan mengakui rasa bertuah kerana menjadi orang kepercayaan kepada Allahyarham Hamdan selama 20 tahun dia berkhidmat dengan ulama itu. Malah, sepanjang tempoh tersebut, banyak ilmu yang dipelajarinya daripada Allahyarham, yang merupakan murid kepada ulama terkenal Kelantan, Tok Kenali atau Haji Muhammad Yusuf Ahmad.
Zawawi, yang kini menetap di Kampung Bahagia, Teluk Intan sering mengimbau sepanjang 20 tahun dia menjadi khadam kepada ulama terkemuka Perak itu.
Semuanya bermula dengan niat beliau ingin belajar ilmu agama daripada seseorang yang mempunyai ilmu yang tinggi, mendorong beliau mengikuti kuliah agama yang disampaikan Tuan Guru Hamdan.
Menurutnya, tanpa diduga, beliau mendapat kepercayaan daripada Tuan Guru Hamdan untuk menjadi khadam yang menguruskan banyak urusan dan keperluan ulama itu.
Katanya, dia mula berkhidmat kepada Allahyarham pada sekitar 1980-an, iaitu ketika berusia lingkunan 40 tahun.
Tuan Guru Hamdan menghembus nafas terakhir pada 2002 pada usia 86 tahun.
“Sebagai seorang ulama dan pendakwah, sudah tentu Tuan Guru mempunyai banyak urusan dan keperluan terutama untuk mengadakan kuliah agama di sana dan sini, jadi sayalah yang menguruskan perjalanannya.
“Saya anggap Allahyarham lebih daripada seorang bapa. Dapat berkhidmat dengan seorang ulama, ini semua ketentuan Allah. Bukan mudah untuk berkhidmat dengan ulama seperti beliau,” katanya.
Menurutnya, perwatakan Tuan Guru Hamdan seorang yang serius, agak garang sehingga jika ada pihak yang mahu berurusan dengannya, maka beliau yang akan menjadi orang tengah untuk menyampaikan hasrat kepada ulama itu.
Tambah Zawawi, dia mengenali sifat Tuan Guru Hamdan seorang yang tegas, menjaga adab dan seorang yang merendah diri.
“Kadang kala beliau menguji saya dalam hal berkaitan ketepatan masa. Menjaga adab dan jangan tergopoh-gapah terutama semasa makan, itu antara perkara yang perlu diberikan perhatian jika bersama Tuan Guru.
Katanya, pemergian ulama itu yang menghembus terakhir pada 2002, secara peribadi adalah satu kehilangan besar buatnya.
“Saya anak murid paling rapat, beliau paling percayakan saya. Sehinggakan sebelum meninggal dunia, beliau memberi isyarat supaya saya mengajar di surau yang diasaskannya di Kampung Bahagia, Teluk Intan.
“Surau tersebut dibina di dalam kawasan rumah beliau. Selepas meninggal dunia, surau ini dinamakan Madrasah Al Hamdaniah, sempena nama beliau,” katanya.
Sepanjang berkhidmat bersama Tuan Guru Hamdan, Zawawi mempelajari pelbagai ilmu agama seperti tasawuf, fikah dan kitab-kitab lama. Menurut Zawawi, beliau dikurniakan 10 anak, tujuh lelaki dan tiga perempuan berusia 20 hingga 40 tahun.
Katanya, kesemua anaknya dibesarkan dalam didikan agama dan melanjutkan pelajaran dalam pendidikan agama hingga ke luar negara iaitu di Syria, Yemen dan Mesir.
“Anak-anak meminati ilmu agama dan kini ada yang menjadi imam masjid.
“Saya anggap ini semua keberkatan, kerana saya dapat berkhidmat dengan seorang ulama,” katanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN