Cegah zina dalam komuniti, keluarga - Utusan Malaysia

Cegah zina dalam komuniti, keluarga

USTAZ MUHAMAD FAIZUL HUSSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEGANGAN agama yang rapuh dengan kemudahan media sosial serba terbuka masa kini menjadikan budaya kuning mudah meresapi masyarakat sehingga menggalakkan berlakunya perbuatan zina.
Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, penceramah bebas, Ustaz Muhamad Faizul Hussin mengakui risau melihat peningkatan kes rogol bawah umur melibatkan pasangan kekasih sebagaimana didedahkan polis di Kelantan, baru-baru ini.
Perbuatan itu tegas beliau, selain jatuh dalam kategori jenayah, juga tetap ditakrifkan sebagai zina kerana berlaku mengikut kerelaan mangsa iaitu atas dasar suka sama suka.
Katanya, Islam melarang keras perbuatan zina kerana ia boleh membawa kebinasaan di dunia dan akhirat, dengan larangan perbuatan mungkar itu jelas termaktub dalam surah Al-Isra’ ayat ke-32.
“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina adalah perbuatan yang keji dan seburuk-buruknya jalan.”
“Tidaklah seseorang lelaki yang berkhalwat dengan seorang wanita itu melainkan yang ketiga di antara mereka adalah syaitan.” Hadis riwayat Imam At-Tarmizi.
Muhamad Faizul berkata, semua pihak perlu bekerjasama bagi membendung masalah dan musibah dalam kalangan remaja itu dengan mengkaji secara telus punca dan sebab berlakunya zina.
“Pergaulan bebas, salah guna pelbagai platform media sosial, merayau di laman web yang mengghairahkan, panggilan video intim keterlaluan disebabkan kurangnya pemantauan ibu bapa.
“Tidak dapat dinafikan salah guna media sosial menjadi jambatan remaja berhubung antara satu sama lain di luar pengetahuan ibu bapa. Pada saya, salah satu kaedah membendung zina adalah buat batasan dalam penggunaan telefon pintar.
“Kurangnya didikan agama termasuk di sepanjang pandemik Covid-19 memerlukan jadual khusus kepada anak-anak untuk mendengar ilmu agama secara dalam talian bersama keluarga,” ujar beliau.
Selain itu, persepsi masyarakat yang menganggap hubungan dan pergaulan bebas sebagai cara hidup moden perlu diperbetulkan.
Ramai pasangan anak muda melakukan perkara yang dilarang Islam sebelum berkahwin seperti berpegangan tangan, berpelukan, malah tanpa segan silu bercumbuan di khalayak ramai kerana menganggap ia sesuai dan mengikut peredaran masa.
Sedangkan tegas Muhamad Faizul, semua gejala itu adalah bibit-bibit permulaan zina hasil perlakuan tanpa batasan agama.
Menurut beliau, pendidikan seksual dan reproduksi yang diajar secara berhemah diintegrasikan dengan nas-nas al-Quran dan hadis akan memberi pengertian bahawa Islam itu menyeluruh, mengajar dan mendidik akhlak umatnya dalam pelbagai situasi kehidupan.
“Pihak berkuasa sama ada menerusi pendidikan di sekolah dan masjid seharusnya sentiasa mengingatkan anak muda menjaga tingkah laku.
“Bongkarkan kesan buruk daripada perlakuan bebas antara lelaki dan perempuan bukan untuk kebaikan.
“Paling utama, ibu bapa juga berperanan besar dalam urusan memikul amanah Allah dengan mendidik anak jagaan mereka merentasi perhatian dan penelitian yang sepatutnya,” jelasnya.
Imam al-Ghazali juga ada berpesan: “Anak-anak adalah amanah atas ibu bapa. Jika sudah terbiasa dengan perkara kebaikan, anak itu akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya.
Sebaliknya, jika dibesarkan dalam suasana yang tidak baik dan dipersiakan seperti haiwan, menderitalah dia dan binasa. Dosa juga akan ditimpakan ke atas orang yang dipertanggungjawabkan itu.”

USTAZ MUHAMAD
FAIZUL HUSSIN
Dilahirkan di Cherang Ruku, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan pada 1975
»Usia: 46 tahun.
»Pendidikan:
 Pondok Pengajian Islam Pasir Tumbuh, Kota Bharu, Kelantan.
 Pondok Pengajian Islam Seligi
 Pondok Kedi Patoni, Wilayah Selatan Thailand
 Lifat Taring, Hadratulmaut, Yaman
 Markaz Nil, Kaherah, Mesir
»Pekerjaan: Mengajar kitab Usuluddin, Feqah dan Tauhid lebih 12 masjid Kelantan dan Terengganu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya