Masjid Nemila, Bosnia masih perlukan sumbangan RM4 juta - Utusan Malaysia

Masjid Nemila, Bosnia masih perlukan sumbangan RM4 juta

GAMBAR lakaran Masjid Nemila di Bosnia yang masih kekurangan dana sebanyak RM4 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini dirayu menyumbang kepada dana pembinaan masjid di Nemila, Bosnia-Herzegovina yang masih memerlukan bantuan kewangan kira-kira RM4 juta.

Presiden Pertubuhan Ukhwah Infak Malaysia, Hilmy Ashley berkata,  setakat ini pihaknya berjaya mengumpul RM500,000 menyebabkan kerja-kerja pembinaan bermula pada 2019 terganggu.

Katanya, pembinaan masjid dimulakan dengan susunan batu-bata dan peletakan kubah namun kerja-kerja ubah suai dalaman tidak dapat dijalankan akibat ketiadaan dana.

HILMY ASHLEY

“Antara faktor utama keperluan membina masjid baru di Nemila adalah di kawasan itu hanya ada dua masjid dan satu surau. Ia tidak dapat menampung bilangan umat Islam yang mencecah hampir 15,000 di sana.

“Kami bimbang kekurangan dana ini bakal menjejaskan sasaran menyiapkan masjid ini pada 2022,” katanya yang menyertai Maharaja Lawak Mega 2018 kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Pembinaan Masjid Nemila tergendala disebabkan kekurangan dana untuk menyiapkan kerja ubah suai dalamannya.

Pertubuhan Ukhwah Infak Malaysia adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi platform untuk membantu dalam usaha fisabilillah bagi menegakkan syiar Islam dan membantu umat Islam yang memerlukan.

Antara objektif penubuhannya adalah membantu meringankan kesusahan semua lapisan masyarakat Malaysia dan juga di luar negara atas dasar kemanusiaan dan kebajikan.

Hilmy berkata, para penyumbang akan dimaklumkan tentang perkembangan semasa berkenaan pembinaan masjid menerusi video dalam talian dengan imam masjid memandangkan kekangan untuk ke Bosnia disebabkan pandemik Covid-19.

Mereka yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Maybank pertubuhan itu di nombor 56455734342 atau mendapatkan maklumat lanjut di laman sesawang ukhwahinfak.com

Untuk rekod, Malaysia telah menyumbang dan membina empat masjid di pelbagai kota di Bosnia-Herzegovina.

-habis-

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya