GEORGETOWN: Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Seri Dr. Md Yusup Che Teh, 70, dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah (1443) peringkat negeri, malam tadi.
Md. Yusop berkata, beliau hanya mampu memanjatkan rasa penuh kesyukuran selepas dimaklumkan terpilih sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi Pulau Pinang tahun ini.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Pulau Pinang berkata, kisah penghijrahan Nabi Muhammad SAW merupakan simbolik buat semua pihak termasuk dirinya untuk berhijrah ke arah yang membawa kebaikan.
“Kisah penghijrahan ini turut termaktub dalam penghijrahan diri saya, penghijrahan ini adalah satu kebaikan.
“Terdetik di hati saya bahawa lebih ramai lagi insan lain yang layak menerima penghormatan ini, namun perancangan Allah SWT adalah terbaik bagi setiap hamba-Nya,” katanya di sini semalam.
Majlis berkenaan yang dijalankan secara dalam talian ekoran pandemik Covid-19 dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor.
Selain Md. Yusop, bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad, Abdul Halim Abdul Hamid, 66, dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Ulama dalam majlis berkenaan.
Md Yusup menerima wang tunai RM10,000 bersama sijil dan trofi manakala Abdul Halim menerima wang tunai RM5,000 bersama sijil serta trofi.
Menurut Md Yusup, banyak kenangan manis ketika beliau bertugas di Pulau Pinang antaranya sewaktu menjadi Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang.
“Saya dan pasukan dapat melaksanakan beberapa enekmen dan undang-undang baharu yang masih digunakan sehingga kini,” katanya.
Sementara itu, Abdul Halim berkata, dia akan terus menabur khidmat untuk umat Islam secara percuma menerusi kuliah dan ceramah di masjid dan surau di negeri ini.
“Saya akan terus berkongsi ilmu kepada semua orang di masjid dan surau di Pulau Pinang sehingga ke akhir hayat saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE