SEREMBAN: Garis panduan pengambilan vaksin ketika bulan Ramadan buat umat Islam di negara ini akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, mesyuarat tersebut diadakan minggu hadapan dan garis panduan berkenaan hal tersebut akan diumumkan setelah itu.
“Perkara ini akan dibincangkan dalam masa terdekat ini, 16 Februari atau 17 Februari. Ia merangkumi pelbagai isu termasuk pengambilan vaksin semasa siang di bulan Ramadan bagi orang yang berpuasa dan pengambilan vaksin bagi orang yang mahu ke Mekah melaksanakan umrah dan haji, ia akan diputuskan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, kata beliau, segala persoalan agama mengenai pengambilan vaksin telah dijawab satu persatu namun ia akan dilihat dari semasa ke semasa,
“Bagaimanapun hukum pengambilan vaksin yang telah ditetapkan adalah harus, kerana melihat kepada keperluan dan darurat serta setelah mengambil pandangan dan pengamatan pakar-pakar perubatan dan tokoh-tokoh agama.
“Setakat ini kita telah putuskan hukum pengambilan vaksin adalah harus dan menjadi kewajipan apabila ditetapkan oleh pihak pemerintah seperti kepada barisan hadapan dan orang-orang yang telah ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli menyatakan kesediaannya menjadi antara yang terawal menerima suntikan vaksin COVID-19 selepas bekalannya sampai di negara ini.
“Saya sejujurnya ikut pada keputusan dibuat pihak berkuasa, ikut pada keadaan, kalau saya juga diminta selepas beberapa orang menteri, insya-Allah, saya bersedia,” katanya. – UTUSAN ONLINE