PHNOM PENH: Di sebalik kekangan pergerakan merentas negara, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa tetap meneruskan program ibadat korban yang telah dijalankan di Kemboja sejak 20 tahun lalu.
Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Marican berkata, wabak Covid-19 turut menjejaskan bilangan lembu korban di mana tahun ini jumlahnya kurang 10 ekor lembu dan hanya dua ekor kambing berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, beliau berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang sudi mengambil bahagian dalam ibadat korban tahun ini sekali gus menceriakan 155 fakir miskin, ibu tunggal dan golongan mualaf di Kampung Pak Phaou.
“Selain ibadat korban, saya menganjurkan pelbagai aktiviti kebajikan seperti membina masjid, surau, sekolah agama, membuat perigi dan sebagainya dalam tempoh 20 tahun ini. Cuma kali ini saya tidak dapat bersama kerana kesukaran mendapatkan tiket penerbangan ke Kemoja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mustapha berharap rakyat Malaysia yang berkemampuan akan terus menyalurkan bantuan kepada umat Islam bukan sahaja di Kemboja tetapi di mana-mana negara lain sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya umat Islam itu adalah bersaudara.
“Banyak atau sedikit jumlah sumbangan bukan jadi ukuran. Yang penting keikhlasan kita dalam membantu saudara seagama yang memerlukan. Semoga Allah memberkati dan menambahkan lagi rezeki para penderma,” tambahnya.
Antara projek kebajikan yang dijalankan oleh NGO Antarabangsa adalah membina dua perigi bernilai kira-kira RM4,142 kepada penduduk Kampung Onoh, Kemboja di pergunungan Mondokiri pada 3 Januari tahun lalu.
Mustapha berkata, sumbangan itu bagi membantu keluarga yang daif dan miskin untuk mendapatkan bekalan air bersih di kawasan berkenaan.
“Rata-rata penduduk adalah petani yang mengambil upah menoreh getah, menanam gajus dan ubi, jadi sukar untuk mereka mendapatkan air bersih serta banyak bergantung kepada air sungai dan hujan.
“Kanak-kanak berhadapan dengan pelbagai penyakit kerana minum air yang tidak dimasak manakala air telaga milik persendirian pula dijual dengan harga yang tinggi untuk satu baldi,” katanya.
Mustapha memberitahu, pembinaan perigi itu dapat membantu hampir 30 keluarga Islam dan 10 keluarga bukan Islam yang tinggal di kawasan pergunungan tersebut.
-habis-