JAM tangan pintar saya menunjukkan masa kelayakan (COT) tinggal beberapa detik sahaja lagi. Ada kira-kira satu kilometer (km) nak sampai garisan penamat (FL).
Malangnya kedua-dua paha saya terasa sakit selepas beberapa kali alami kejang otot. Nak pilih untuk tidak menamatkan perlumbaan (DNF), pantang sekali!
Berjalan kaki sahajalah yang mampu saya lakukan untuk meneruskan langkah. Sambil dalam hati berbisik, kru-kru di FL pastinya sedang sibuk berkemas nak ‘tutup kedai.’
Yalah, buat apa nak tunggu lagi, para pemenang semua sudah dapat hadiah. Namun, semakin menghampiri FL, semakin meriah saya dengar.

Bunyi pekikan, sorakan, loceng, wisel, hon angin silih berganti, hingar bingar macam ada pesta. Rupa-rupanya kegamatan itu dicetuskan oleh para kru yang meraikan ketibaan setiap peserta di FL.
Mereka tunggu sampai habis semua peserta. Saya yang berada pada kedudukan corot pun disambut bagai juara!
Terasa setiap titisan keringat menempuh laluan mencabar hampir 12 km begitu dihargai. Lain macam vibe tersebut.
Itu perasaan saya sebaik sahaja menamatkan Shah Alam Trail Run 2026, baru-baru ini. Program ulung anjuran bersama Majlis Perwakilan Penduduk Zon 4 dan 13 di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta kelab sukan, Absolute Wellness itu ternyata berjaya mencetuskan pengalaman menyeronokkan kepada setiap 650 orang peserta.
Menurut Presiden Absolute Wellness, Mohd. Firdaus Mohd. Sahir, objektif utama penganjuran program adalah untuk mengeratkan komuniti setempat. Selain itu, mendedahkan peserta kepada alam semula jadi menerusi acara larian.

“Kita nak jadikan ia bukan macam acara biasa tapi mahukan peserta rasa yang diri mereka rapat dengan program sebegini.
“Kita nak bagi peserta satu pengalaman yang mereka tidak akan lupakan, rasa syok,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kemeja-T peserta juga lain daripada yang lain. Corak rekaan berkonsepkan estetik moden amat kena dengan jiwa generasi sekarang.
Anak saya sendiri apabila melihat kemeja-T yang dibawa pulang pun rasa begitu teruja. Hinggakan dia rasa terkilan sebab tidak daftar!
Sama dengan medal, rata-rata peserta memberikan maklum balas ia ‘comel’ selain berkualiti tinggi. Reka bentuk sesuai sangat dengan tema larian denai dan alam semula jadi.
Dua jarak dipertandingkan iaitu larian kompetitif 10 km dan larian santai 5 km. Juga ada kategori kanak-kanak di mana ibu bapa atau penjaga dibenarkan berlari mengiringi anak masing-masing sekali gus menjadikannya seperti program santai keluarga.
Meskipun nampak santai dan berlangsung di hutan simpan bandar dikelilingi kawasan kejiranan, laluan yang perlu ditempuh setiap peserta tetap mencabar. ‘Seksa’ sama seperti acara-acara larian denai popular lain.

Ketinggian mendaki dikatakan mencecah 511 meter. Naik turun bukit umpama menaiki roller-coaster.
Malam sebelumnya pula hujan lebat menjadikan sesetengah kawasan licin dan berlumpur. Ada peserta sampai tergolek akibat gagal mengimbangi badan.
Penganjur memastikan juga laluannya tidak sama seperti digunakan oleh mereka yang sering beriadah di situ. Ada lokasi perlu dapat gelang tangan daripada kru bagi mengelak peserta yang mungkin cuba ‘menipu’ ikut jalan pintas.
Bagi saya yang malas berlatih, pastinya tercungap-cungap ‘minta nyawa.’ Apa pun, kemampuan melepasi cabaran sebeginilah yang memberikan kepuasan kepada diri peserta.
Berikutan kejayaan dan sambutan memberangsangkan, Mohd. Firdaus berkata, pihaknya berhasrat mahu menganjurkan selama dua hari pada tahun depan. Selain sesi pagi, beliau bercadang mahu mengadakan pada waktu malam untuk mereka yang mahu melalui pengalaman menempuh cabaran larian denai dalam suasana gelap hutan.
Jika ini dapat direalisasikan, pastinya pengajuran pada tahun akan menjadi lebih meriah dan lebih mencabar. Rasanya saya sudah boleh mula berlatih untuk Shah Alam Trail Run 2027!











