PETALING JAYA: Penyanyi, Nikki Palikat muncul dengan single terbaharu yang berjudul, Malam Nestapa ciptaan komposer, Leonard Yeap dan penulis lirik, Raihani Mohd. Saaid.
Menurut Nikki, tidak mudah untuk dia mengerah emosi bagi lagu yang mempunyai jalan cerita yang cukup mendalam.
“Malam Nestapa berkisar penderitaan seseorang yang dilanda keperitan mendalam. Sakit dirasakannya tidak tergambar sehingga ke satu titik, putus segala harapan pada satu malam yang nestapa itu.
“Insan berkenaan hampir berputus asa namun berusaha mengumpul segala kekuatan dan ingatkan kembali dirinya pada sebuah ikrar yang dipegangnya. Dia perlu terus berjuang dan kotakan ikrar itu.
“Sewaktu menerima demo lagu ini, saya teringat kepada lagu Terasing nyanyi Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Penghayatannya menggambarkan pasal seseorang ditimpa kemurungan,” katanya.
Tidak mudah untuk menghidupkan emosi dalam lagu itu, Nikki mendapat bimbingan David Koon selaku penerbit memandangkan single tersebut merupakan lagu tema filem, Gayong.
Dalam pada itu, Nikki berpuas hati kerana dapat mencurahkan penghayatannya dalam lagu tersebut.
Dia juga memaklumkan tersentuh dengan mesej dalam Malam Nestapa.
“Bahagian yang paling saya suka adalah korusnya yang menggambarkan perasaan patah semangat. Tapi pada masa sama, masih kental semangat juang dalam dirinya untuk melawan perasaan itu.
“Melodinya berjaya menggambarkan kegetiran itu dan mesejnya cukup bermakna mengenai bagaimana mencari kekuatan dalam pada emosi dan harapan hampir punah,” katanya.
Menariknya, Nikki juga menimba ilmu baharu dalam proses rakaman lagu ini. Dia memuji ketegasan Leonard yang enggan karya itu digubah dan harus dinyanyikan mengikut komposisi aslinya.
Paling membuatkan Nikki meremang adalah tatkala mendengar petikan piano Leonard yang cukup memukau. Sebaik dia menyerap ‘roh’ lagu itu, sekali gus melancarkan proses rakamannya.
Nikki bagaimanapun mengakui amat berbesar hati diberi peluang itu dan berharap agar Malam Nestapa mampu menyentuh hati pendengar.
“Ini sebenarnya kali pertama saya menyanyikan runut bunyi untuk filem aksi. Semoga penyampaian nyanyian saya dalam Malam Nestapa cukup rasa dan beri keadilan kepada filem itu.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada SOL Pictures dan Penerbit Eksekutif Gayong, Khairul Anuar Latip atas kepercayaan untuk menyanyikan runut bunyi filem itu,” katanya.
Untuk info, filem Gayong diinspirasikan daripada kisah Pengasas Silat Gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR) dan diarahkan karyawan hebat, Faisal Ishak.
Filem terbabit dibintangi nama-nama handalan termasuk Beto Kusyairy selaku teraju utama memegang watak ADMAR, Syafie Naswip, Nabila Huda, Yayan Ruhian dan ramai lagi.
Penggambarannya dibuat di Kuala Lumpur, Sepang dan Tanjung Sedeli dan bakal menjengah pawagam seluruh negara pada 8 Mei nanti. – UTUSAN