Baru-baru ini, saya bersama rakan-rakan mencabar diri ‘menjelajah’ Kota Bharu dengan bajet serendah RM200 seorang.
Trip ini menawarkan pengalaman istimewa dan bermakna, lantas membuktikan yang keindahan sesebuah tempat tidak semestinya memerlukan perbelanjaan tinggi.
Ibu negeri Kelantan ini bukan bandar biasa, kerana ia menyimpan pelbagai khazanah budaya, sejarah dan tradisi unik yang masih terpelihara hingga kini.
Daripada seni warisan Melayu yang memukau hingga ke sajian tempatan yang menggamit selera, Kota Bharu sememangnya sebuah destinasi yang wajib diterokai.
Sarapan pagi di Siti Khadijah
Kami memulakan perjalanan dengan menyelami budaya tempatan, menerusi sarapan pagi menyelerakan di Pasar Siti Khadijah, yang terkenal dengan pelbagai juadah tradisi.
Saya memilih nasi kerabu lengkap dengan lauk daging bakar, lemak serta dua solok lada.
Alangkah terkejutnya, apabila mendapati harga hidangan itu hanyalah RM12, jauh lebih murah berbanding restoran-restoran yang menyediakan nasi kerabu Kelantan di ibu kota.
Hidangan enak ini memberikan permulaan yang sempurna untuk hari penuh eksplorasi.
Setelah selesai bersarapan, kami meluangkan masa sekitar 30 minit meneroka pasar itu.
Pasar itu dinamakan sempena isteri Nabi Muhammad kerana hampir 95 peratus peniaga di situ terdiri daripada kaum wanita.
Ia turut menjual pelbagai barangan tempatan termasuk kain batik, kerongsang, hasil kraftangan, sayur-sayuran dan barangan mentah.
Enggan pulang tangan kosong, saya membeli cenderamata berupa empat dompet mini kain batik yang berharga RM20 dan berpeluang mendapat satu percuma.
Kampung Kraftangan
Kemudian, kami menuju ke Kampung Kraftangan, sebuah destinasi menarik yang menampilkan seni warisan Kelantan.
Melangkah masuk ke sini, seolah-olah berada di kawasan istana Melayu, di zaman dulu kala.
Dengan bayaran masuk percuma, kami berpeluang melihat demonstrasi pembuatan wau, seni ukiran kayu dan pelbagai lagi.
Kami juga tidak melepaskan peluang mencanting batik, dengan bayaran RM10 sahaja untuk seorang dan ternayata ia memberikan pengalaman yang cukup unik.
Kampung Kraftangan dilengkapi galeri yang mempamerkan pelbagai hasil seni tradisional, termasuk songket tenunan tangan yang memukau dengan corak rumit.
Terdapat juga bengkel khas di mana pengunjung boleh menyaksikan proses pembuatan barangan tembaga dan perak, seperti dulang serta hiasan rumah yang diukir dengan begitu teliti.
Jika ingin membawa pulang cenderamata, terdapat gerai yang menjual pelbagai hasil kraftangan asli Kelantan, seperti tikar mengkuang dan ukiran kayu.
Selepas puas menikmati keunikan seni warisan, kami mengisi perut dengan hidangan nasi ulam dan ikan bakar di sebuah warung berhampiran dengan harga RM12 seorang.
Berdekatan dengan Kampung Kraftangan, terdapat Restoran Nasi Ulam Cikgu yang terkenal dengan pelbagai hidangan tradisional Kelantan.
Di sini, kami menikmati nasi ulam beserta ikan bakar yang lazat, lengkap dengan teh beng yang menyegarkan, hanya berjumlah RM13 seorang.
Santai petang
Perjalanan diteruskan ke Pantai Cahaya Bulan (PCB), yang terkenal dengan keindahan dan angin sepoi-sepoi bahasa.
Kami meluangkan masa bersantai di tepi pantai sambil menikmati lokcing, iaitu sate ikan yang berharga hanya RM2.50 untuk lima cucuk. Sungguh ringkas tetapi cukup memuaskan.
Sebelum pulang ke tempat penginapan, kami singgah membeli makan malam iaitu nasi ayam khao mok yang berharga RM5.50.
Walaupun murah, kuantitinya yang banyak amat mengenyangkan, dan rasanya begitu enak meskipun ini kali pertama saya mencubanya. Gabungan rasa nasi yang harum dan ayam berempah benar-benar memikat selera.
Untuk penginapan, kami memilih sebuah inap desa sederhana dengan harga RM40 seorang bagi satu malam.
Walaupun dengan bajet terhad, namun, saya dan rakan-rakan masih dapat menikmati penginapan yang selesa dan membranal nilai terbaik tanpa mengorbankan keselesaan.