Situasi ketaksuban membeli barangan tular berkait rapat dengan fenomena psikologi fomo (fear of missing out) mendorong orang ramai sanggup beratur panjang dan berjam-jam demi mendapatkan barangan tular.
Pemandangan ini sudah dianggap biasa dalam masyarakat kita.
Sama ada minuman, makanan baharu dan koleksi edisi terhad yang tular di media sosial, keghairahan ini mencerminkan satu perubahan ketara dalam budaya pengguna moden.
Lebih daripada sekadar keinginan untuk memiliki produk tertentu, fenomena ini memperlihatkan peningkatan sifat materialistik dalam masyarakat, terutama generasi muda.
Pakar Antropologi dan Sosiologi Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Khairuddin Mohad Sallehuddin berkata, kegilaan terhadap produk viral bukan lagi soal keperluan, tetapi lebih kepada perlumbaan untuk memiliki sesuatu yang dianggap eksklusif dan berharga.
Katanya, masyarakat semakin didorong untuk membeli bukan kerana manfaat produk tersebut sendiri, tetapi kerana nilai simbolik yang dikaitkan dengannya.
“Fenomena ini berkait rapat dengan kepuasan jangka pendek. Apabila seseorang berjaya mendapatkan produk viral, mereka merasakan kepuasan segera yang memberikan keseronokan serta-merta.
“Namun, kepuasan ini sering bersifat sementara kerana produk tersebut akhirnya digantikan dengan trend baharu, mencetuskan satu kitaran pembelian impulsif yang tidak berkesudahan,” katanya.
Beliau menjelaskan, media sosial menjadi pendorong utama kepada ketakutan untuk ketinggalan dalam sesuatu trend.
“Apabila pengguna melihat rakan-rakan mereka atau influencer terkenal berkongsi pengalaman memiliki sesuatu produk viral, lalu mereka dipengaruhi untuk mendapatkan perkara yang sama, bagi mengelakkan perasaan terpinggir,” katanya.
Katanya, situasi beratur panjang, turut memperlihatkan perubahan dalam norma sosial, terutama dalam aspek kesabaran dan adab.
“Dalam kes tertentu, kita sering melihat insiden pergaduhan atau ketidaksabaran yang tercetus akibat keinginan mendesak untuk mendapatkan sesuatu dengan segera.
“Budaya segera (instant culture) yang semakin berkembang ini menghakis nilai kesabaran dan tolak ansur dalam masyarakat,” katanya.
Selain itu, situasi tersebut sekali gus menonjolkan sifat mementingkan diri sendiri dalam kalangan pengguna.
“Sikap ‘saya dahulu’ menjadi semakin ketara, mencerminkan bagaimana nilai individualistik dan materialistik semakin menggantikan sikap prihatin dan hormat-menghormati dalam masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) Prof. Datuk Dr. Andrew Mohanraj berkata, situasi ketaksuban membeli barangan tular berkait rapat dengan fenomena psikologi fomo (fear of missing out).
Katanya, apabila sesuatu produk menjadi viral, orang ramai merasakan tekanan psikologi yang kuat untuk turut serta dalam trend tersebut, sehingga sanggup beratur panjang atau bersaing mendapatkannya.
“Dari sudut neurologi, keterujaan untuk mendapatkan produk yang sedang viral memberi kesan kepada otak dengan melepaskan hormon dopamin (hormon gembira).
“Dopamin dikaitkan dengan perasaan gembira dan pencapaian, menyebabkan pengguna berasa puas apabila akhirnya memperoleh produk tersebut.
“Ini juga menjelaskan mengapa mereka sanggup beratur panjang atau membayar lebih semata-mata untuk mendapatkan sesuatu yang tular,” katanya.
Bagaimanapun, tidak semua yang mengalami fomo akan berjaya mendapatkan produk diingini.
“Semakin tinggi jangkaan terhadap produk tersebut, semakin besar kekecewaan yang dirasai jika gagal memilikinya.
“Emosi negatif ini boleh membawa kepada rasa kesal dan iri hati apabila melihat orang lain mempamerkan produk tersebut dalam media sosial,” katanya.