SEPANG: Pelakon dan pelawak, Along Cham, 41, berharap proses tuntutan pengesahan lafaz cerai taklik akan berjalan lancar hari.
Along yang tiba di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pukul 10:20 pagi tadi juga hanya akan mendedahkan taklik yang dilanggar isterinya di mahkamah hari ini.
“Hari ini pendedahan langgar taklik, saya harap semuanya selesai.
“Ada pendedahan, tunggu selesai nanti. Sebab dia langgar taklik, saya akan cakap dalam mahkamah nanti.
“Saya tidak boleh cerita nanti netizen cakap saya buka aib rumah tangga. Tak payah cerita, terima kasih,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini, hari ini.
Turut hadir di mahkamah ialah isterinya, Afreena Suhaimi, 33, dalam pakaian hitam pukul 10:35 minit pagi.
Afreena yang disapa Feena hadir ditemani peguam, Mohamad Iezwan Ielias, ibu bapa dan rakan kepada keluarga yang turut menjadi saksi perkahwinan mereka tahun lalu.
“Saya harap hari ini berjalan dengan lancar, kalau boleh kita tak mahu tangguh lagi, perkara ini sudah tertangguh sekian lama. Kita tunggu sebentar lagi dari keputusan mahkamah,” katanya ringkas.
Dalam pada itu, peguam turut menjelaskan hari ini akan berlangsungnya sebutan pertama kes lafaz taklik setelah pemfailan yang dibuat oleh Along.
“Secara asasnya kita akan sebut dulu di depan hakim, kebenaran untuk kes ini diteruskan.
“Tengok semula kepada arahan mahkamah bagaimana sama ada kita akan masukkan pembelaan sebagai tuntutan balas atau kita akan teruskan dengan perbicaraan.
Cuma kita tengok kepada proses mahkamah hari ini,” katanya.
Terdahulu pada 28 Januari, Along Cham mahu menfailkan lafaz taklik di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan pelakon tersebut melakukan permohonan tersebut di Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengikut alamat rumahnya.
Tindakan itu diambil selepas Along mendakwa isterinya melanggar tiga perkara yang telah dipersetujui tahun lalu termasuk tidak patuh arahan dan membelakangi suami.
Along dan Afreena berkahwin pada 4 April 2024 selepas lapan tahun menduda. – UTUSAN