Al-Quran dan hadis qudsi

Al-Quran dan hadis qudsi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kedatangan bulan Ramadan selain sangat sinonim dengan ibadah puasa, turut mengingatkan kita kepada kemuliaan al-Quran al-Karim.

Umat Islam akan lebih bersemangat di dalam bulan ini untuk membaca al-Quran dengan niat mahu mengkhatamkan bacaan keseluruhannya.

Bahkan guru saya contohnya, al-Syeikh Yusri bin Rushdi al-Hasani di masjid beliau di al-Muqottom, Kaherah saban tahun akan mengkhatamkan al-Quran sekitar 4 ke 5 kali sepanjang melaksanakan solat tarawih.

Maka kali ini, saya ingin berkongsi dengan pembaca beberapa maklumat penting mengenai kitab suci ini berdasarkan tulisan al-Syeikh Dr. Muhammad Bakr Ismail iaitu Dirosat Fi ‘Ulum al-Quran.

 

PENGERTIAN AL-QURAN
Kalimah al-Quran bukanlah kalimah yang asing dalam bahasa Arab dan bererti pembacaan.

Ini kerana kalimah al-Quran adalah masdar bagi kalimah Qoro’a yang bermaksud seseorang telah membaca.

Seterusnya apabila Allah menurunkan wahyu-Nya kepada Nabi Muhammad SAW, wahyu-wahyu tersebut telah dinamakan sebagai al-Quran.

Maka al-Quran di sisi istilah agama Islam adalah firman Allah yang mencabar (manusia untuk mendatangkan seumpamanya) yang telah diturunkan ke atas Nabi Muhammad SAW yang telah ditulis di dalam mushaf yang telah diwariskan secara tawatur (iaitu jumlah yang meriwayatkannya adalah begitu ramai) yang membacanya adalah ibadah.

Pada awal zaman Islam, kemudahan alat tulis dan kertas adalah terhad. Maka demi untuk memastikan keaslian al-Quran terjaga dan tidak bercampur dengan sabdaan Rasulullah SAW, baginda melarang para sahabat untuk mencatat hadis baginda sebagaimana yang direkodkan dalam Sahih Muslim:

Daripada Abu Sa‘id al-Khudri bahawa sesungguhnya Nabi SAW bersabda: “Kalian semua janganlah menulis (sesuatu hadis) daripadaku. Sesiapa yang telah menulis daripadaku selain al-Quran, maka hendaklah dia memadamnya. Kalian semua ceritakanlah (apa sahaja hadis) daripadaku dalam keadaan tiada salahnya (tindakan itu).

Sesiapa yang telah berdusta ke atasku-Hammam (yang merupakan salah seorang perawi hadis ini) berkata: Saya mengira bahawa baginda telah bersabda: secara sengaja-maka dia hendaklah menyediakan tempat duduknya daripada api neraka”.

 

NAMA-NAMA AL-QURAN
Al-Quran sebenarnya mempunyai nama-nama lain. Bagaimanapun, nama yang paling terkenal bagi wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW adalah al-Quran. Antara nama lain bagi al-Quran adalah seperti berikut:
-Al-Kitab (buku). Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqaroh ayat ke-2: “Itulah al-Kitab tiada keraguan padanya, hidayah bagi orang-orang bertakwa.”

-Al-Tanzil (penurunan). Allah SWT berfirman dalam Surah al-Syuara ayat ke-192: “Sesungguhnya ia benar-benar adalah penurunan oleh tuhan seluruh alam.”

-Al-Furqan (pembeza). Ini kerana al-Quran telah membezakan antara kebenaran dengan kebatilan berdasarkan hujah yang tuntas dan bukti yang nyata. Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Furqan ayat pertama: “Maha agung (tuhan) yang telah menurunkan pembeza ke atas hamba-Nya agar ia menjadi pemberi ingatan kepada seluruh alam”.

-Al-Huda (hidayah). Allah SWT berfirman di dalam surah al-Saff ayat ke-9: “Dialah yang telah mengutuskan rasul-Nya bersama-sama dengan hidayah dan agama kebenaran”.

 

PERBEZAAN AL-QURAN DENGAN HADIS QUDSI
Hadis qudsi adalah sabda Rasulullah SAW yang baginda nyatakan ia adalah firman Allah. Namun firman Allah yang dinamakan sebagai hadis qudsi itu tidak pula didapati dalam al-Quran. Antara perbezaan antara keduanya yang dinyatakan oleh al-Syeikh Dr. Muhammad Bakr Ismail dalam kitab Dirosat Fi ‘Ulum al-Quran adalah seperti berikut:

Al-Quran adalah mukjizat yang Allah telah mencabar manusia dan jin untuk mendatangkan ayat-ayat seumpama al-Quran. Namun hadis qudsi pula bukanlah menjadi pencabar. Maka tidak mustahil untuk manusia dan jin mendatangkan ayat-ayat yang gaya bahasanya menyamai mutu gaya bahasa hadis qudsi.

Al-Quran diriwayatkan secara tawatur iaitu oleh sekumpulan perawi yang jumlahnya sangat ramai. Ini berbeza dengan hadis qudsi yang tidak disyaratkan mesti diriwayatkan secara tawatur.
Allah telah berjanji untuk menjaga al-Quran. Maka tidak akan hilang satu ayatpun daripada al-Quran sehingga ke hari kiamat sedangkan hadis qudsi pula mungkin sebahagiannya hilang dan tidak sampai kepada kita.

Seluruh lafaz al-Quran adalah diwahyukan oleh Allah kepada Rasulullah SAW sedangkan lafaz hadis qudsi adalah olahan ayat daripada Nabi SAW setelah Allah menurunkan wahyu tersebut kepada baginda.

 

WAHYU PERTAMA

Para sejarawan berbeza pendapat dalam menentukan apakah ayat yang mula-mula diwahyukan kepada Rasulullah SAW. Namun pandangan kebanyakan mereka adalah ayat pertama sehingga ayat ke-5 surah al-‘Alaq yang bermaksud: “Bacalah (wahai Rasulullah) dengan (menyebut) nama tuhanmu yang telah menciptakan (makhluk seluruhnya). Dia telah menciptakan manusia daripada gumpalan-gumpalan darah. Bacalah (wahai Rasulullah) dalam keadaan tuhanmu adalah yang paling pemurah. Dialah yang mengajar (manusia akan tulisan) melalui perantaraan pena. Dia telah mengajar manusia apa yang tidak diketahui olehnya.”

Lima ayat inilah yang diturunkan Allah melalui malaikat Jibril kepada Nabi SAW semasa baginda sedang bersunyi-sunyian di Gua Hira’ di Mekah. Bagaimanapun ada juga para ulama yang berpendapat wahyu pertama diturunkan kepada Nabi SAW adalah lima ayat pertama daripada surah al-Muddathir.

Mereka berhujah dengan hadis yang turut diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (Kitab al-Tafsir, Surah al-Muddathir, hadis ke-4973) seperti berikut:

Yahya (bin Abu Kathir) telah berkata: Saya telah bertanya Abu Salamah: “Quran yang manakah yang mula-mula diturunkan?” Lalu beliau berkata: “Wahai orang yang berselimut”. Maka saya berkata: “Saya telah diberitahu ayat yang mula-mula turun adalah: “Bacalah dengan nama tuhanmu yang telah menciptakan.”

Maka Abu Salamah pun berkata: Saya telah bertanya [Saidina] Jabir bin ‘Abdulloh: “Al-Quran yang manakah yang mula-mula diturunkan?” Lalu beliau telah berkata: “Wahai orang yang berselimut”. Maka saya berkata: “Saya telah diberitahu bahawa ayat yang mula-mula turun adalah: Bacalah dengan nama tuhanmu yang telah menciptakan.”

Maka beliau pun berkata: “Saya tidak akan memberitahu anda kecuali dengan apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW.” Rasulullah SAW telah bersabda: “Saya telah berada lama di (Gua) Hira’. Apabila saya telah selesai (beribadat di dalam gua tersebut), saya pun turun. Maka saya telah melalui satu lembah lalu saya telah dipanggil (oleh seseorang). Maka saya pun melihat ke arah hadapan saya, belakang saya, kanan saya dan kiri saya.

“Rupa-rupanya yang memanggil saya duduk di atas singgahsana di antara langit dengan bumi. Lantas saya pun terus menemui Khadijah lalu saya telah berkata: Kalian semua selimutkanlah saya dan tuangkanlah air yang sejuk ke atas saya.

Wahyu telah diturunkan ke atas saya: Wahai orang yang berselimut. Bangunlah lalu berikanlah peringatan. Maka besarkanlah tuhanmu”.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya