SHAH ALAM: Penyanyi, Ziana Zain memberitahu kehadirannya di Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis lalu hanya sekadar membantu siasatan bagi kes melibatkan sebuah syarikat perunding kewangan.
Kata Ziana, penglibatannya menerusi syarikat yang terlubat dalam Ops Sky itu hanya sebagai duta bersama pelakon, Datuk Jalaluddin Hassan dan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.
“Saya hanya dipanggil untuk membantu siasatan. Siasatan itu berlangsung selama tiga jam. Ada beberapa perkara yang mereka perlu ambil tahu seperti sudah berapa lama kami kenal dan sebagainya.
“Saya hanya duta dan penyanyi. Itu saja selebihnya kami berbual. Pihak SPRM sendiri kata, kami dipanggil untuk dibantu bukan suspek. Tapi biasalah orang luar suka sangat menghakimi.
“Untuk pihak saya bersama dua selebriti yang lain sudah selesai. Tetapi dari segi siasatan selanjutnya, itu urusan pihak SPRM. Asalkan kami sudah selesaikan bahagian kami, Alhamdulillah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sementara itu, penyanyi lagu Madah Berhelah tersebut turut menafikan dakwaan kononnya menerima wang sehingga RM400,000 sebagai duta.
“Kalau betullah saya dapat wang tunai sebanyak itu sudah lama saya beli Mercedes baharu. Tiadalah, yang dilantik menjadi duta, sudah tentu perbelanjaannya pun banyak. Kadang-kadang bila jumlah itu keluar kami tidak dapat semua,” jelasnya.
Ditanya sama ada dirinya serik untuk menjadi mana-mana duta, Ziana menyifatkan perkara itu bergantung pada nasib dan takdir yang telah tersurat.
Malah, Ziana turut menganggap perkara itu tidak menjejaskan karier seninya memandangkan dia hanya menjalankan tugas sebagai duta.
“Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi duta, ini kali pertama. Kita sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku dan yang kita tahu hanya dasarnya sahaja.
“Bagi saya, mereka masih dalam siasatan. Jadi kita tidak boleh tuduh sama ada mereka salah atau tidak. Bagi saya ini nasib.
“Tiada apa yang perlu saya risaukan kerana saya bukan terlibat dalam modus operandi tersebut. Pada saya, perkara ini tidak mengganggu pun karier seni saya sebab saya hanya membantu siasatan dan hanya menjalankan tugas sebagai duta sahaja,” katanya.
Pada 6 Februari, Ziana, Jalaluddin Hassan dan Sheikh Muszaphar hadir ke SPRM Putrajaya untuk membantu siasatan dalam operasi Ops Sky.
Itu merupakan usaha SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan bersama pegawai bank di beberapa institusi kewangan.