KUALA LUMPUR: Julung kali bekerjasama, penyanyi dan penulis lagu berbakat, Adam dan Kat Roshan tampil dengan naskhah baharu, Hey U yang menyerlahkan sisi muzik berbeza dan lebih santai pengkarya muda itu.
Kat Roshan berkata, lirik Hey U mengupas tarikan dan ketahanan dalam hubungan yang penuh ketidaktentuan sementara melodinya pula menampilkan sisi dirinya yang lebih santai kepada peminat.
“Saya yakin ramai yang boleh kaitkan dengan mesej dalam lagu ini. Harapan saya adalah agar ia dapat menyentuh hati pendengar dan memberikan impak positif,.
“Saya menyampaikan lirik yang mencerminkan kekecewaan dan sindiran seorang wanita yang menyedari kecurangan pasangannya tetapi masih belum mampu melepaskannya,” jelasnya.
Bagi Adam pula, Hey U berkisarkan wanita yang begitu mencintai pasangannya, manakala si lelaki pula berusaha mengubah sikap buruknya yang sering curang.
“Lagu ini adalah kisah cinta segi tiga yang tipikal tetapi sangat dekat dengan umum. Ramai yang pernah mengalami situasi yang serupa
“Saya mahu lagu ini membuatkan orang tersenyum. Ia ringan, menyeronokkan, dan boleh dikaitkan dengan banyak kisah cinta di luar sana,” ujarnya.
Menariknya, proses penggambaran video muzik Hey U dibuat di beberapa lokasi indah di Paris, Perancis dalam masa yang singkat.
“Kami hanya mempunyai satu setengah hari untuk merakam video muzik ini, jadi semuanya terasa spontan.
“Namun, saya sempat mengalami sedikit masalah kesihatan akibat makanan, tetapi saya berjaya menghabiskan penggambaran,” kongsi Kat.
Lagu ini merupakan hasil kerjasama dengan beberapa individu kreatif, termasuk Asyraf Nasir sebagai penulis lirik bersama serta Radityo dan Jayson Teoh sebagai penerbit.
Video muzik pula diarahkan oleh Tobias Nash, yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan Kat Roshan dalam MV lagu ‘I’m A Rebel’.
Hey U kini boleh didengarkan di semua platform penstriman muzik utama.-UTUSAN