Setelah lebih sedekad meniti kerjaya dalam dunia kulinari di hotel-hotel mewah, figura ini mengambil langkah berani bertukar profesion sebagai pencipta kandungan di media sosial.
Sepanjang 10 tahun berada dalam industri tersebut, Kalidevan Morugaya, 34, banyak menyajikan hidangan eksklusif yang banyak menggunakan bahan berasaskan haiwan.
Namun, pandangannya terhadap penyediaan makanan menggunakan produk haiwan berubah, apabila mengetahui bagaimana haiwan diproses menjadi makanan atau bahan-bahan sampingan untuk penyediaan juadah.
“Pada 2019, saya telah menonton video mengenai kekejaman dalam industri telur dan tenusu, yang membuatkan emosi saya terganggu.
“Ia sekali gus mencetuskan perasaan saya bersimpati terhadap haiwan-haiwan yang digunakan dalam industri makanan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
PEMAKANAN SIHAT
Justeru, beliau mengambil keputusan untuk mengamalkan permakanan vegan dengan mengolah pelbagai menu yang menepati selera Malaysia tanpa menggunakan produk daging atau berasaskan haiwan.
Sebagai seorang pempengaruh, Chef Dave ingin memanfaatkan kariernya menjadi pencipta kandungan untuk memperkenalkan kebaikan menu vegan.
“Projek baharu yang saya akan laksanakan selama tempoh dua tahun ini adalah untuk memperbaiki persepsi sesetengah masyarakat yang mengatakan amalan diet menggunakan menu vegan adalah tidak sihat dan kurang khasiat.
“Justeru itu, saya akan berkolaborasi dengan beberapa orang pakar bagi membincangkan hal ini serta mendapatkan data-data berkaitan.
“Saya juga akan turut mencabar diri untuk mengamal diet menggunakan menu-menu vegan, yang akan beri perubahan kepada kesihatan selepas 30 hari, “ katanya.
Penerima anugerah Chef Vegan Terbaik Asia dengan Anugerah Pengaruh Kreatif di Penganugerahan Asia Awards ini akan meneruskan projek Ramadan untuk memberi idea hidangan bagi masyarakat Muslim yang ingin berbuka puasa dengan menu vegan.
Lebih mesra dan dikenali pengikutnya di media sosial dengan panggilan, Chef Dave, beliau mula berkongsikan hidangan menu vegan melalui di Facebook dan kemudian berkembang di media sosial yang lain.
Beliau semakin aktif memuat naik video masakannya di media sosial ketika pandemik Covid-19, kerana pada waktu itu industri perhotelan terkesan.
Apabila melihat ramai memberi pandangan positif melalui tontonan yang banyak di media sosialnya, beliau meneruskan langkah sebagai pencipta kandungan.
“Saya banyak memulakan percubaan menggunakan pelbagai bahan masakan alternatif, bagi menggantikan sumber daging dan produk berasaskan haiwan untuk mencipta hidangan yang lazat serta berkhasiat.
“Banyak yang telah memberi pandangan yang baik terhadap menu vegan saya, malah ada yang terkesima dan menyatakan rasanya seakan-akan sama dengan menggunakan bahan produk haiwan,” ujarnya.
Sepanjang menjadi pencipta kandungan, anak jati Johor ini banyak melakukan banyak kolaborasi, bagi mengetengahkan kebaikan masakan vegan, bersama chef-chef tempatan dan antarabangsa dan Pelancongan Malaysia, dan kementerian-kementerian lain.
Antara projek gandingan dengan beberapa chef lain ialah menghasilkan buku berjudul ‘Durian Cookbook’, iaitu memperkenalkan pelbagai menu menggunakan raja buah itu.
Selain itu, beliau membuat akademi masakan secara maya yang dijadikan bengkel dan kelas masakan menu menggunakan bahan-bahan berasaskan tumbuhan.