“AKU pernah mempunyai ramai rakan-rakan di sekeliling.
“Semua itu ketika usia muda semasa menjadi penyanyi di sebuah restoran dengan tepukan para
penonton.
“Tetapi apabila sudah meningkat usia, semua itu tidak ada lagi, seolah-olah aku kini hidup bersendirian,” kata Tan Mei Paik memulakan perbualan.
Di usia 51 tahun, wanita ini mengambil keputusan besar dalam hidup untuk berhijrah secara sukarela dengan mengucapkan dua kalimah syahadah.
Keinginan itu juga terbit selepas melihat teman mualafnya menjalani kehidupan yang lebih tenang selepas memeluk Islam.
“Akhir-akhir ini saya terfikir sampai bila kehidupan saya akan berterusan seperti ini. Kini, saya tidak mempunyai sesiapa lagi. Emak dan bapa
pun sudah sekian lama meninggal dunia.
“Setelah bertemu seorang kawan mualaf, saya tertarik untuk bersyahadah dan peluk Islam apabila mendapati kehidupan kawan itu begitu tenang,” katanya.
Mei Paik yang tinggal di Bukit Mertajam mengucapkan syahadah dipimpin oleh ahli Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT) yang juga merupakan seorang guru, Che Siti Nuraisyah Che Suhaimi.
Program bersyahadah di Masjid Permatang Janggus dekat sini itu turut disaksikan oleh Penaung IKUT, Zolkifly Md. Lazim dan beberapa jemaah selepas selesai solat Jumaat.
Berkongsi cerita, kata Mei Pak, seawal usia 18 tahun, dia sudah mendirikan rumah tangga.
Namun, perkahwinannya tidak bertahan lama dan dia kemudian berkahwin untuk kali kedua.
“Saya memulakan karier menjadi penyanyi di sebuah restoran sejak sekian lama dan berkahwin pada usia 18 tahun. Selain itu saya pernah bekerja di kedai minuman keras.
“Saya juga pernah berkahwin kali kedua. Hasil dua perkahwinan itu, saya mempunyai dua anak lelaki yang berusia 30 dan 21 tahun,” katanya.
YAKIN DENGAN ISLAM
Sebelum bersyahadah, Che Siti Nuraisyah turut menerangkan kepada Mei Paik mengenai agama Islam termasuk Rukun Islam dan Rukun Iman dalam bahasa Mandarin.
Mengenai kehidupannya selepas ini, Mei Pak berdoa agar pengakhiran hidupnya akan lebih baik dan terjamin.
Katanya, dunia glamor sebelum ini tidak akan bertahan untuk selamalamanya.
“Saya yakin Islam akan menjaga dan selamatkan saya di dunia dan akhirat,” katanya.
Mei Paik turut meluahkan rasa gembira apabila mendapati ramai rakan-rakan dalam kalangan orang Islam sanggup memberi bimbingan mengenai agama Islam.
“Jabatan Agama Islam negeri juga sedia membantu dan membimbing saya.
“Saya juga teringin untuk menjalani ibadah puasa Ramadan pada bulan depan,” katanya.
Mengimbau masa silamnya, Mei Paik berkata, banyak pengalaman dilalui ketika berumahtangga dan menjadi penyanyi di restoran.
Namun, semuanya dianggap sebagai pengalaman berharga dalam kamus kehidupannya.
“Semua pengalaman itu mengajar saya erti kehidupan sebenar. Masa kita muda, semua itu memang indah dengan ramai kawan-kawan di sekeliling tetapi apabila sudah meningkat usia baru kita sedar bahawa ia hanya kehidupan glamor,” katanya.-UTUSAN