Anak-anak tidak mahu ibu baru - Hisyam Hamid

Anak-anak tidak mahu ibu baru – Hisyam Hamid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selesa dengan gelaran duda, pelakon Hisyam Hamid, 40, mengakui dirinya pernah ditegah oleh anak-anak untuk berkahwin lagi.

Menurut Hisyam, topik itu mula tercetus apabila ibunya spontan bertanya kepada anak-anaknya sekiranya pelakon tersebut terbuka hati untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi.

“Buat masa sekarang, saya sangat selesa dengan kehidupan saya. Anak-anak saya pun cakap, mereka tidak mahu ibu baru. Saya tak pernah buka topik ini kepada anak-anak.

“Ibu saya ada tanya dan cakap kepada mereka bahawa ayah mereka ini masih muda. Tapi, mereka masih bertegas dan katakan tidak. Namun, tak tahulah kalau esok lusa mereka berubah fikiran,” katanya.

Tambah Hisyam, dia juga tidak menolak jika takdir menentukannya untuk bertemu jodoh kembali meskipun dirinya bukan berada dalam fasa mencari.

“Saya rasa saya bahagia dan berada dalam satu keadaan lebih selesa berbanding setahun lalu. Kalau jodoh ada, Alhamdulillah. Kalau tak ada pun, saya bersyukur. Saya okay saja. Jauh sekali daripada terdesak,” jelasnya.

Sementara itu, Hisyam turut menyelar dakwaan bahawa dirinya sedang hangat bercinta dengan seorang penerbit.

Kata pelakon drama bersiri Andai Tiada Dia itu, dakwaan sedemikian kerap muncul semenjak dirinya bergelar duda.

“Saya rasa, itu adalah satu perkara yang datang secara semula jadi dengan status saya sekarang, duda. Kalau dulu, saya sering membawa bersama orang rumah ke mana-mana.

“Jadi, saya selamat dan orang tak boleh bercakap apa-apa. Sekarang ini, saya tak bawa sesiapa. Jadi, dakwaan itu tidak benar sama sekali.

“Mungkin bila orang tengok saya baik atau rapat dengan sesiapa, mereka anggap saya sedang bercinta dengan orang itu,” ujarnya.

Sebelum ini, Hisyam mengesahkan bahawa dia dan bekas isterinya Rosmawari Hanafi telah bercerai pada Mei tahun lalu namun, enggan mendedahkan punca perceraian.

Hasil perkahwinan yang telah terbina sejak 2006 itu, mereka dikurniakan dua anak iaitu Nurish Syameliah, 18; dan Haydeen, 16.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN