Wakaf solar: Masjid Al-Mursyid jimat 60 peratus bil elektrik

Wakaf solar: Masjid Al-Mursyid jimat 60 peratus bil elektrik

solar
MASJID Al-Mursyid di Guring, Pauh, Arau, Perlis menjadi perintis bagi projek wakaf solar hasil sinergi bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Bank Rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASJID Al-Mursyid di Guring, Pauh, Arau, Perlis menjadi perintis bagi projek wakaf solar hasil sinergi bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Bank Rakyat.

Inisiatif projek tersebut bermula sejak September lalu dan menariknya pengurusan masjid berjaya mengumpul RM30,000 bagi merealisasikan usaha berkenaan.

Menerusi pelaksanaan itu, Bank Rakyat turut menyumbangkan sebanyak RM62,000 manakala MAIPs menyalurkan RM20,000 bagi pembangunan projek solar bernilai RM110,000 tersebut.

Baru-baru ini, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs berkenan berangkat merasmikan projek wakaf solar berkenaan.

Baginda juga berkenan menyaksikan simbolik penyerahan sumbangan projek tersebut oleh Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Prof. Dr. Raduwan Idar kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Mursyid, Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail berkata, idea penggunaan sistem solar itu tercetus kerana mereka sering berdepan bebanan bil elektrik bulanan yang tinggi.

Sebelum ini, purata bil elektrik adalah kira-kira RM4,500 sebulan, namun ia boleh mencecah sehingga RM7,000 pada Ramadan.

“Bagaimanapun, selepas pemasangan 72 panel solar ini, kami dapat berjimat sehingga 60 peratus, malah bil elektrik turun kepada RM2,500 sebulan,” katanya.

Tambah Syed Abu Bakar, lebihan wang yang dijimatkan itu dapat dimanfaatkan bagi pelbagai aktiviti untuk mengimarahkan masjid berkenaan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Jadi model Program Transformasi Masjid
Projek wakaf solar itu dilaksanakan menerusi kutipan daripada jemaah masjid bersama hasil sumbangan orang awam.

“Kutipan projek wakaf solar ini dilakukan bermula bulan September lalu dan turut diuar-uarkan secara dalam talian bagi memudahkan penyaluran maklumat,” katanya.

Syed Abu Bakar berkata, Masjid Al-Mursyid juga menjadi model bagi pelaksanaan Program Transformasi Masjid Kepada Rumah Ibadat Hijau dengan kerjasama dan kepakaran Pusat Pengurusan Tenaga dan Kampus Lestari, Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Terkini, Masjid Al-Mursyid berusaha untuk meraih pengiktirafan sebagai rumah ibadat hijau melalui Program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 anjuran Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).

“Inisiatif ini turut melibatkan pelajar-pelajar Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTE) Unimap daripada program Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik.

“Pelajar terlibat memainkan peranan dalam aktiviti yang dirancang termasuklah penukaran lampu kepada jenis diod pemancar cahaya (LED), pemasangan smart wifi switch, pili wuduk cekap air, stesen kitar semula 3R dan pemasangan tangki penuaian air hujan serta smart electrical energy monitoring system,” katanya.’

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tambah Syed Abu Bakar, masjid berkenaan turut menjadi perintis bagi projek wakaf solar di negara ini.

Walaupun terletak di pinggir bandar, namun, katanya, masjid berkapasiti 800 jemaah itu telah mencapai banyak perubahan drastik.

Sementara itu, seorang jemaah, Mohseen Mahmud, 71, menyambut baik inisiatif tersebut kerana dapat membudayakan amalan berjimat-cermat.

Katanya, pendekatan pihak pengurusan masjid memberi nafas baharu selaras dengan peredaran zaman masa kini.

“Semoga projek wakaf solar ini dapat dicontohi masjid lain dalam misi menjimatkan bil elektrik pada setiap bulan,” katanya.

Dalam program Wakaf solar di Masjid Al-Mursyid ini, panel solar dibekalkan dan dipasang oleh syarikat Gading Kencana Sdn. Bhd., iaitu antara syarikat bumiputera yang pakar dalam industri tenaga boleh baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN