Sepanjang duduk di bangku penonton, ada satu persoalan yang sangat melekat dalam fikiran saya, adakah normal untuk seorang pemain permainan video (gamer) menjadi sangat agresif dan pemarah sehingga terbawa ke kehidupan nyata? Setidaknya, itulah perkara yang sangat dominan saya cermati menerusi filem terbaharu pengarah filem terlaris Malaysia 2023 dan 2024, Syafiq Yusof.
Soloz: Game of Life bagi saya sebuah naskhah yang sangat menyesakkan kerana dipenuhi jeritan, amuk dan amarah. Sekumpulan laki-laki dewasa awal 20-an, tidak terlalu muda, sedikit gegabah tapi sepatutnya sudah (sedikit) matang mengawal ego sendiri.
Namun entah mengapa, kebanyakkan karakter yang dipamerkan hanya mempunyai dua sifat yang ekstrem, pertama, sama ada mereka sangat pemarah. Kedua, sama ada mereka kuat menangis. Namun begitu, hanya Soloz yang kelihatan normal, santai, tenang dan tidak mempunyai hobi suka menjerit.
Beberapa kajian dalam jurnal ahli akademik sudah lama membincangkan hubungan gamers dan sifat agresif, bagaimana pemain menjadi kecewa kerana kalah, dendam dan mahu menyalahkan ahli pasukan yang dianggap punca kegagalan. Sebab itu dalam industri e-sukan di negara yang lebih ke hadapan, mereka mempunyai kaunselor khas untuk memantau keadaan barisan gamers mereka.
Namun mengapa seorang Soloz tidak melemparkan kemarahan itu di dunia nyata (real life) tapi Syafie Naswip (Fizul), Noki (Safwan) dan Ikmal Amry (Irfan) begitu dangkal mengawal emosi, bentak-bentak seperti budak gagal dapat coklat di kedai Aceh?
Mungkin kerana mereka lahir dari rahim kemiskinan, ibu bapa semakin uzur dan mereka tidak mempunyai pilihan selain menang. Dalam kehidupan orang miskin, setiap hari adalah pertempuran. Kemarahan mereka bukanlah tentang game yang dipertandingkan, tapi kerana keresahan adakah mereka boleh cukup makan dalam ‘kerja’ yang penuh ketidakpastian.
Sudah tentu keresahan itu tidak dimiliki Soloz, anak tunggal daripada ibu bapa yang supportive dan bergaji lebih RM 9 ribu sebulan. Setidaknya kalau Soloz kalah, ibu ayahnya belum uzur dan masih ada makanan di atas pinggan.
Filem ini (sepatutnya) bukan tentang Soloz
Soloz bagi peminat e-sukan Malaysia adalah figura yang besar, sudah tentu lebih mudah melariskan naskhah. Namun sepanjang menonton dua jam 19 minit filem yang ala-ala iklan Raya (kerana asyik nangis minta restu), saya (yang bukan pemain mobile legends) merasa skrip filem ini gagal menonjolkan sisi karisma, kepintaran dan resilience seorang Soloz. Dia hanya baik, minta restu ibu bapa dan ada kekasih, itu sahaja. Tidak merendahkan Soloz, cuma dalam cerita ini dia tidak menonjol.
Bahkan menurut saya, cerita yang patut di bawa kehadapan dan lebih menginspirasikan adalah pengurusnya, Nureddy Norsal atau DaddyHood. Bagaimana dengan sikap alturistik yang tinggi boleh melahirkan The Boss. Juga tidak keterlaluan jika saya katakan kejayaan e-sukan hari ini adalah kerana orang sepertinya.
Namun begitu, saya harus memuji usaha Syafiq yang melakukan integrasi dunia animasi permainan elektronik dengan drama kehidupan nyata. Ia segar dan sangat berkelas. Bukan kearifan saya menilai teknikaliti animasi tersebut, namun setidaknya, ia adalah satu-satunya alasan mengapa saya masih melekat di kerusi penonton.
Walaupun menurut saya skrip filem yang bukan biopik ini belum ‘ditanak’ sehingga matang. Saya tidak boleh menafikan Syafiq adalah satu-satunya pengarah filem yang berani menghidangkan Malaysia sebuah selera berbeza setiap masa. Dia sentiasa mahu keluar dan mencabar!