SUSAN Lankester menunggu lebih 40 tahun sebelum dia diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33).
Penantiannya berakhir. Pelakon prolifik ini akhirnya menggenggam sebuah trofi keramat yang menjadi idaman ramai pelakon sepertinya. Hasil penat lelah anak kelahiran Johor Baru ini akhirnya terbayar.
Tidak keterlaluan kalau saya menyifatkan 2024 sebagai tahun paling manis buat pelakon ini, yang turut diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Akademi Kreatif Asia tahun lalu.
Dan lebih istimewa, penantian Pancaindera untuk mengabadikan Susan sebagai sampul hadapan sisipan ini juga telah menemui titik penamatnya.
Pelakon berdarah kacukan Inggeris dan Cina ini berbagi perasaan pasca dua kejayaan manisnya tahun lalu.
“Ibarat mimpi jadi kenyataan. Saya tidak pernah sangka saya akan diberi pengiktirafan sebesar ini.
“Ramai berpandangan saya layak. Tapi saya tetap tidak percaya kerana yang bertanding bagi kategori itu, semua hebat belaka.
“Apa pun, anugerah akan tinggal menjadi anugerah, trofi yang saya bawa pulang akan tersimpan di rumah.
“Lama kelamaan, orang akan lupa mengenai kemenangan ini. Apa yang pasti, ia akan tertulis sebagai sejarah penting sepanjang pembabitan saya dalam dunia lakonan, saya berbangga dengan pengiktirafan ini,” katanya.
Kata Susan, sepanjang hidupnya, belum pernah dia menerima perhatian dan liputan sebesar ini. Justeru dia menghargai setiap detik susulan kemenangannya pada malam bersejarah itu.
“Sebab itu, selepas diumumkan menang trofi FFM33, saya ambil masa, santuni semua pengamal media yang mewawancara saya.
“Saya amat hargai setiap perhatian dan ucapan tahniah yang diberikan kepada saya.
“Saya berbesar hati kalau kemenangan saya sebagai Pelakon Wanita Terbaik dapat memberi semangat kepada pelakon lain untuk meraih kejayaan yang sama,” ujarnya.
Susan sedar, pengiktirafan yang diterimanya datang dengan tanggungjawab yang cukup berat. Justeru jelitawan ini bertekad untuk memanfaatkan kemenangan yang diraih untuk membangunkan industri seni tanah air.
“Satu sahaja harapan saya, agar kemenangan ini membuka pintu dan peluang untuk ramai orang.
“Rakan-rakan pelakon yang bermula bersama saya kebanyakannya sudah melangkah keluar dunia lakonan. Ramai yang menganggap mereka tidak lagi diperlukan.
“Itu tidak benar sama sekali! Buktinya adalah saya, yang sampai hari ini masih bertahan dan akhirnya menerima pengiktirafan yang saya sendiri tidak sangkakan.
“Saya harap kemenangan saya ini dapat meyakinkan mereka untuk kembali berlakon,” kongsinya.
TIDAK TERDESAK NAMPAK MUDA
Saya kagum dengan Susan Lankester kerana wajah dan fizikal dia tidak menggambarkan usia sebenarnya.
Tanpa prosedur kosmetik atau pembedahan, pelakon ini berjaya mengekalkan kecantikan pada usia 62.
“Lihat wajah saya, adakah seperti saya melakukan sesuatu untuk nampak muda? Jelas kelihatan jalur usia, kesan luka dan tompok-tompok penuaan.
“Saya tidak nafikan, ada pihak yang datang kepada saya menjanjikan rawatan yang kononnya boleh mengembalikan keremajaan saya, katanya membuatkan saya 20 tahun lebih muda.
“Mereka tidak faham. Saya ini pelakon, kerja saya memerlukan ekspresi wajah. Suntikan botoks atau pembedahan akan melenyapkan semua itu.
“Saya pilih untuk menua secara semula jadi. Saya tidak terdesak untuk kelihatan muda,” kongsinya.
Kata Susan lagi, dia sedar prosedur kosmetik tidak mendatangkan kebaikan jangka masa panjang untuk dirinya.
Justeru dia enggan menjadi tikus makmal, mengubah apa yang Tuhan telah berikan kepadanya.
“Semua ini pilihan masing-masing. Saya memilih untuk kekalkan apa yang saya miliki.
“Biarlah saya menua secara semula jadi. Kita tidak mampu menghalang pertambahan usia,” kongsinya.
SUNYI? TIDAK SAMA SEKALI
“Saya tidak pernah berkahwin, pernah hampir mendirikan rumah tangga, tetapi ditakdirkan untuk tidak jalani kehidupan itu.”
Demikian jawapan Susan mengenai perkahwinan. Tegasnya, dia selesa dengan kehidupan sekarang walaupun jodoh belum kesampaian.
“Hati saya sudah lama dimiliki, bukan baru semalam, tapi sudah sekian lama. Cuma saya tak perlu bercerita lanjut mengenainya.
“Jadi, tidak mungkin saya berasa sunyi. Selain berteman, saya ada keluarga dan kawan-kawan yang selalu bersama saya.
“Malah saya dibesarkan untuk menjadi wanita berdikari. Berpasangan atau tidak, saya tetap gembira.
“Jadi kalau ada yang bertanya soal perkahwinan, jawapan saya, ia bukan keutamaan. Kalau ia berlaku, ia akan berlaku,” kongsinya.