KESELURUHAN drama bersiri Light Shop sebenarnya berputar daripada sebuah dialog yang berbunyi, bila seseorang pernah berada dalam keadaan sakaratul maut, mereka selalu menggambarkan perkara yang sama.
Katanya, mereka seolah-olah berjalan di sebuah lorong sangat gelap sampailah akhirnya ada sebuah cahaya benderang yang samar-samar kelihatan di hujung terowong. Dalam siri ini, cahaya yang dimaksudnya berasal dari sebuah kedai lampu mewah yang terletak dihujung lorong. Anehnya, di tempat itu tidak pernah ada siang.
Sudah, itu sahaja sebenarnya premis yang dibincangkan selama lapan episod drama ini. Namun cara ia disampaikan, ditunjukkan dan dibahas membuatkan saya terlopong kerana tidak pernah lagi saya menonton sebuah naskhah tentang mati dengan gaya cerita, olahan dan visual seperti dikarang penulisnya, Kang Full dalam Light Shop.
Semasa dua episod awal cerita ini, ia memberi kita aura sama seperti filem seram apabila ada makhluk aneh yang berkeliaran dan selalu singgah di Light Shop yang dijaga seorang lelaki lakonan Jo Ji-hoon. Permulaan cerita masih penuh tanda tanya dengan gaya slow burn dan jika tidak disampaikan dengan baik, saya jamin penonton akan berhenti berasa teruja.
Tapi inilah kelebihan Kang Full, seolah mengulang magis samanya dalam siri Moving, berjaya memikat penonton dengan rasa keseraman dan adegan tidak menyenangkan. Muziknya tidak mewah bahkan sangat minimal tapi berjaya membina rasa ngeri dan kurang senang mungkin kerana suasana dan visualnya yang sangat sempurna.
Di pertengahan naskhah, yang mana ketika banyak siri gagal mempertahankan momentum di fasa ini namun Light Shop bertambah lebih menarik. Dari keseraman ia berubah menjadi dramatis dan melankolis membincangkan kematian dan punca mengapa watak-watak ini menjadi tidak aman.
Light Shop bukan mahu menunjukkan soal balasan dan kenikmatan sesudah mati, tapi bagaimana rasa hormat orang hidup kepada yang sudah tiada.
Dalam dialog dia menegur bahawa walaupun seseorang itu sudah mati, kita wajar memanggilnya dengan gelaran ‘si mati’ bukannya mayat, memberikan tunduk hormat dan mendoakannya selama tiga hari kerana mereka juga sedang beradaptasi dengan perpisahan di alam yang baharu.
Naskhah ini tidak berceramah seolah-olah mengingatkan kita jadi baik kalau mahu senang di akhirat. Tapi dia mengambil premis lain mengulas bagaimana kasih sayang tetap ada walaupun sudah di alam berbeza. Bagaimana kemaafan tetap tersisa walaupun di alam penuh gelap. Light Shop menjadi contoh naskhah dengan gaya jungkir balik yang sangat sempurna.
Saya hampir tidak percaya ini adalah arahan pertama Kim Hee-won selepas hampir dua dekad bergelar pelakon. Dari visual, cerita dan lakonan, Kim membuktikan kepada kita bahawa pentingnya sebuah pengalaman untuk menghasilkan sebuah naskhah yang segar tapi menyentuh hati penonton sedalam ini.