MALAYSIA adalah antara yang terendah di Asia Tenggara dari segi peratusan kerusi yang disandang oleh wanita di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu tidak sampai 15 peratus.
Sejak Deklarasi Beijing 1995, lebih daripada 60 negara sudah mengubal undang-undang 30 peratus kuota wanita dalam pelbagai bentuk dan ia memberi kesan yang baik seperti di Indonesia, Timor Leste, India, Pakistan, Perancis, Mexico dan Costa Rica.
Malah, Timor Leste kini mempunyai kira-kira 33.6 peratus penggubal undang-undang wanita di Parlimennya hasil daripada undang-undang kuota gender 2006 yang dilaksanakan di negara itu.
Koordinator Dana Kanada untuk Inisiatif Tempatan (CFLI), Suruhanjaya Tinggi Kanada di Kuala Lumpur, Cherine Hegazy berkata, kadar wanita dalam kabinet di negaranya meningkat sejak 2002, apabila tiga perempat daripada kabinet adalah lelaki.
“Kanada mengagihkan wanita dan lelaki secara seimbang di semua peringkat membuat keputusan dalam membina masyarakat yang adil dan demokratik.
“Peratusan wanita yang menjadi Ahli Parlimen meningkat sejak 1997 dengan 80 peratus adalah lelaki manakala bakinya, wanita. Pada 2023 pula, jumlah itu melonjak kepada 30 peratus,” katanya.
Kerajaan Kanada menyokong kuat untuk mencapai kesaksamaan jantina dalam kerajaan.
Dasar itu membantu menggalakkan kesaksamaan dalam kepimpinan dan penyertaan demokratik di seluruh Kanada.
Di Kanada, Dewan Rakyat, terdiri daripada Ahli Parlimen yang dipilih untuk mewakili penduduk kawasan pilihan raya masing-masing.
Perspektif wanita mesti dimasukkan ke dalam semua aspek dasar dan penggubalan undang-undang supaya wanita boleh menjadi pembuat keputusan dan agen perubahan yang sama dalam proses ekonomi, sosial dan politik.
Hari ini, Kanada berbangga mempunyai Kabinet yang seimbang jantina.
“Kerajaan Kanada menggunakan Dana Kanada untuk melabur dalam projek yang direka oleh organisasi masyarakat sivil tempatan.
“Ia membolehkan Suruhanjaya Tinggi Kanada di Malaysia memberikan sokongan kepada Kumpulan Masyarakat Sivil yang menyokong isu penting yang dipercayai oleh orang Kanada,” katanya.
SUARA WANITA LEMAH
Ketiadaan Ahli Parlimen dan ADUN wanita sekurang-kurangnya 30 peratus, bukan saja melemahkan suara wanita dalam membentuk gender yang lebih luas dalam landskap sosio ekonomi dan politik terutama mengenai isu yang menjejaskan wanita dan kanak-kanak secara tidak seimbang.
Setiausaha Nasional Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), M. Sivaranjani berkata,wanita yang ingin dilantik sebaiknya memahami isu wanita dan mengangkat isu kritikal ke parlimen.
“Setakat ini, memang ada Ahli Parlimen wanita tetapi berdasarkan pengalaman saya membawa isu berkaitan lebih 4,000 pekerja pembersihan dan keselamatan di bangunan kerajaan yang dibuang kerja serta gaji yang masih rendah, tiada yang berani bersuara di Parlimen.
“Kalau kita tengok pekerja pembersihan, 99 peratus adalah wanita. Mereka jalankan kerja sukar, kotor dan bahaya (3D) tetapi gaji masih di bawah paras kemiskinan iaitu RM1,500 walaupun bekerja di bangunan kerajaan tetapi sudah diswastakan sejak 1984,” katanya.
Justeru, katanya, lebih ramai wanita di Parlimen dan ADUN diperlukan bagi membantu menangani isu-isu sedemikian kerana merela lebih peka berbanding lelaki.
Jurucakap Projek 30% dan Aktivis Mahasiswa, Aaliyah Danial berkata, kewujudan Kementerian Wanita dan Biro Wanita dalam parti politi masih tidak cukup kerana budaya diamalkan didakwa terkebelakang serta belum progresif.
Perkara ini memberikan kesan kepada anak muda kerana sekadar diberikan jawatan setiausaha atau lain-lain dalam sesebuah organisasi yang menyukarkan untuk menyuarakan pendapat mereka.
“Lebih ramai wanita dalam politik, lebih ramai wanita progresif dapat dikumpulkan bagi menyuarakan isu-isu rakyat.
Jika undang-undang dapat memberikan tekanan kepada perubahan dalam parti politik itu sendiri, sekali gus parti itu dapat bergerak ke hadapan.
“Bagi isu pelajar yang terpaksa berdepan kes gangguan seksual, ahli politik lelaki tentunya tidak dapat mengetengahkan isu sebegini atau memahaminya,” katanya.
PERANAN WAKIL RAKYAT
Pengarah Eksekutif, Sister In Islam, Rozana Isa berkata, seorang Ahli Parlimen atau ADUN, memainkan peranan sebagai wakil rakyat untuk membawa penyelesaian yang terbaik tentang sesuatu isu atau masalah.
Kedua, golongan itu perlu memastikan hak rakyat, wanita terjamin dan boleh diperbaiki lagi, sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ketiga, wakil rakyat harus mendengar suara rakyat sekali gus mempunyai keyakinan yang penyelesaian itu boleh datang dari rakyat juga.
“Kalau kita lihat dalam peranan itu, wanita sebenarnya yang boleh memainkan peranan baik dalam ketiga-tiga perkara disebutkan.
Dalam abad ke-21 ini, peranan wanita bukan sahaja di peringkat keluarga tetapi dalam masyarakat.
“Maka wanita memerlukan sokongan lebih besar dari segi undang-undang dan juga dasar.
“Jika tidak, mereka akan selalu berada dalam keadaan yang harus memilih antara keluarga dan kerjaya. Orang selalu bercakap mengenai keseimbangan hidup, hakikatnya kita tidak akan dapat keseimbangan itu melainkan adanya undang-undang atau dasar yang boleh memberi sokongan lebih luas kepada wanita,” katanya.
Rozana memberikan contoh isu nafkah, undang-undang sudah baik namun boleh diperbaiki dan diperkasakan lagi.
Tambahan pula, isu nafkah selalunya berada di kedudukan teratas dalam undang-undang keluarga Islam.
Tegasnya, Ahli Parlimen dan ADUN masih perlu memperjuangkan isu itu bagi memastikan ia dipatuhi.
Setakat ini, tiada kesungguhan pihak yang melaksanakan undang-undang sedia ada untuk memastikan mereka mengikut arahan.
Sementara itu. pensyarah Universiti Malaya, Dr. Ruhana Padzil berkata, jumlah perwakilan Malaysia masih rendah berbanding dengan negara-negara seperti Rwanda sebanyak 61 peratus, Cuba(53 peratus), Bolivia (53 peratus), Sweden (47 peratus), Finland (41 peratus), Timor Leste (40 peratus) dan Indonesia (20 peratus).
“Di Indonesia, terdapat program yang melatih wanita untuk peka politik antaranya Program Perempuan Memimpin (2016).
“Mereka membentuk ahli jawatankuasa di peringkat daerah, negeri dan nasional serta bekerjasama dengan parti politik yang menyokong partambahan calon legislatif wanita selain merancang strategi-strategi yang sesuai untuk meningkatkan jumlah wakil perempuan dengan menambahkan kapasiti pengetahuan, keterampilan dan informasi,” katanya.
Tambahnya, inisiatif itu bertujuan membentuk keyakinan dan percaya diri berdepan dengan pemimpin lama sekali gus mengembangkan kemampuan kepimpinan progresif dalam rencah politik.
Dalam masa sama, ia menjadi medium untuk membuat keputusan yang boleh membawa perubahan positif di peringkat daerah, tempatan dan nasional menerusi latihan peningkatan kapasiti, mendampingi calon yang sesuai serta advokasi pemegang taruh.
“Manakala di Timor Leste, terdapat usaha memperkasakan wanita di peringkat kerajaan tempatan di samping kuasa politik dengan sokongan daripada ahli politik lelaki.
“Sokongan kerajaan dalam melaksanakan kesaksamaan gender dalam semua aspek dan kempen di peringkat awam menjadi amalan di negara berkenaan seterusnya meningkatkan pembabitan wanita dalam membuat keputusan,” katanya.