JANGAN pandang ringan sakit kepala yang dialami kerana jika berpanjangan selama seminggu, itu mungkin petanda anda berdepan penyakit endokrin.
Gejala berkenaan bukan sakit biasa, sebaliknya berkait rapat dengan gangguan sistem endokrin yang melibatkan kelenjar-kelenjar seperti pituitari, tiroid, adrenal, pankreas, ovari dan testis.
Pakar Bedah Payudara dan Endokrin Hospital Picaso, Dr. Normayah Kitan berkata, sistem endokrin merupakan antara sistem yang agak kompleks dalam badan manusia.
Fungsinya adalah untuk menghasilkan dan mengawal hormon bagi pertumbuhan, perkembangan, metabolisme dan pembiakan.
“Kalau pesakit pening kepala tetapi tekanan darahnya normal, gejala itu mungkin berpunca akibat stres sahaja dan boleh pulih selepas makan panadol.
“Namun, jika kesakitan itu keterlaluan sehingga seminggu disusuli dengan tekanan darah yang tidak normal, segeralah berjumpa doktor kerana mungkin berkaitan masalah endokrin.
“Banyak lagi gejala-gejala yang boleh diperhatikan termasuk sering lesu, jantung berdebar dan berat badan turun mendadak tanpa sebab-sebab munasabah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sehubungan itu, Normayah menyarankan orang ramai untuk peka terhadap tahap kesihatan masing-masing dan perubahan yang berlaku dalam tempoh seminggu.
Katanya, langkah itu penting bagi memudahkan urusan mendiagnosis awal dan merujuk kepada doktor.
“Peka itu bukanlah bermaksud individu perlu mengingati semua perkara, tetapi kenal pasti tanda-tanda yang besar atau ketara.
“Contohnya, jika seseorang remaja berdepan tekanan darah tinggi di usia muda, kenal pasti apakah punca kejadian itu berlaku.
“Dengan cara tersebut, individu akan tahu kelesuan atau jantung berdebar yang dialami selama ini bukanlah disebabkan letih bekerja atau belajar, sebaliknya mempunyai kaitan dengan penyakit tiroid,” katanya.
Cari pandangan kedua
Jika sakit dialami masih tidak reda walaupun setelah berjumpa dengan doktor, Normayah meminta pesakit untuk mencari pandangan kedua.
Ia termasuk berjumpa pengamal perubatan lain bagi mendapatkan lebih pengesahan.
“Saya faham ada kalanya pengamal perubatan am mungkin menganggap gejala dinyatakan pesakit itu hanya biasa-biasa atau tiada apa-apa.
“Justeru, saya nasihatkan pesakit agar jangan lekas percaya dan jumpalah doktor lain jika merasakan simptom tersebut adalah luar biasa,” katanya.
Beliau tidak mahu pesakit bertangguh dalam mendapatkan rawatan hingga keadaan menjadi lebih teruk.
Katanya, golongan wanita dikesan cenderung berbuat demikian disebabkan tanggungjawab kepada keluarga dan kerjaya.
“Kehidupan wanita sangat sibuk sebagai isteri, ibu serta pekerja hinggakan mereka terlupa tentang diri sendiri.
“Jika sakit, ia cuma dirawat dengan makan ubat atau panadol sahaja,” katanya.
Pemeriksaan berkala buah pinggang
Normayah berkata, tiada makanan tertentu yang dapat membantu mencegah gangguan pada sistem endokrin.
Bagaimanapun, katanya, amalan gaya hidup sihat, pemakanan berkhasiat, bersenam, tidak merokok dan stres mampu mengurangkan risiko penyakit tersebut.
Paling mustahak, jangan mengambil sebarang ubat-ubatan berkaitan penyakit endokrin tanpa berjumpa doktor.
“Menjadi trend masyarakat zaman sekarang makan suplemen untuk mendapatkan tenaga tambahan atau mengekalkan kesihatan.
“Bagi yang mengambil suplemen, saya minta untuk memeriksa fungsi buah pinggang secara berkala selepas tiga ke enam bulan,” katanya.