Bagi meningkatkan akses pendidikan bagi komuniti yang memerlukan, Taylor’s College bekerjasama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Banun melancarkan Hab Pembelajaran baharu bagi menyokong komuniti Orang Asli di Gerik, Perak.
Hab itu menyediakan ruang pelbagai fungsi untuk pelajar, ibu bapa dan ahli komuniti bagi menjalankan aktiviti kolaboratif dan pendidikan.
Idea awalnya dicetuskan oleh empat orang pelajar yang melihat potensi untuk mengubah kawasan sekolah yang kurang digunakan menjadi ruang yang bermanfaat untuk komuniti.
Kemudian, direalisasikan dengan kerjasama bekas pendidik di SK RPS Banun yang juga pemenang RISE Educator Award 2024, Shawn Stanly Anthony Dass.
Ia menyediakan ruang khas untuk pelajar SK RPS Banun dan perkampungan Orang Asli terdekat untuk belajar, menimba ilmu dan menyertai aktiviti yang berstruktur.
Pengarah Kampus Taylor’s College, Josephine Tan berkata, pendidikan adalah asas kejayaan seumur hidup dan inisiatif seperti Hab Pembelajaran ini membawa perubahan bermakna, bukan sahaja untuk pelajar dan sekolah tetapi kepada landskap pendidikan Malaysia.
“RISE Educator Award memainkan peranan penting dalam mengiktiraf dan memperkasa usaha pendidik seperti Cikgu Shawn, yang menginspirasikan transformasi dalam komuniti mereka.
“Projek seperti ini membuka jalan kepada masyarakat yang lebih berdaya saing dan makmur, mencerminkan komitmen kami terhadap pendidikan inklusif dan transformasi yang bermakna,” katanya.
Pelancaran hab itu dirasmikan Timbalan Pengarah, Sektor Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Fadzliaton Zainudin baru-baru ini.
Fadzliaton yang menyambut baik usaha itu berkata, kerjasama erat antara sektor swasta dan kementerian memberikan manfaat besar kepada pelajar.
“Kami menghargai kerjasama antara sektor swasta dan KPM dalam memastikan pendidikan dapat diakses oleh semua pelajar.
“Tambahan pula, inisiatif ini selaras dengan konsep ‘Sekolah Milik Masyarakat’ yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar tetapi juga kepada ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.
KREATIVITI PELAJAR
Sementara itu, Shawn Stanly yang mesra disapa Cikgu Shawn berkata, Hab Pembelajaran itu turut dibangunkan bersama kreativiti dan semangat pelajar.
“Ia adalah tempat di mana mereka boleh belajar, berkembang dan berhubung dengan komuniti mereka. Pelajar-pelajar ini melihat peluang untuk mengubah kawasan yang tidak digunakan kepada sesuatu yang bermakna.
“Dengan dana RM20,000 dan sokongan daripada Taylor’s College, serta bimbingan mentor saya, Nur Syazadiyanah Binti Suraini, semasa proses ideasi Hab Pembelajaran, visi kami kini menjadi kenyataan.
“Ini hanyalah permulaan, tetapi ia adalah langkah penting untuk membantu pelajar kami mengatasi cabaran yang mereka hadapi,” jelasnya.
Direka berdasarkan input daripada kumpulan fokus seramai 16 peserta termasuk ibu bapa, Hab Pembelajaran ini menonjol dengan reka bentuk unik dan pembinaan berasaskan komuniti.
Dibina sendiri oleh komuniti, ia menggabungkan fungsi pendidikan moden dengan warisan budaya di samping menggunakan bahan kitar semula.
Ruang ini mempunyai tiga zon utama (Pembelajaran, Permainan, dan Kolaborasi) yang direka untuk memenuhi keperluan pendidikan tertentu sambil memberikan fleksibiliti untuk kaedah pengajaran abad ke-21.
Ia turut dilengkapi dengan panel dinding interaktif, mural yang dilukis oleh pelajar.
Terdapat juga kawasan untuk penerokaan, teknologi, pembelajaran senyap, rekreasi dan pendidikan menyeronokkan yang menggalakkan rasa ingin tahu, kreativiti dan kolaborasi.
Sekali gus, mencerminkan usaha kolektif komuniti untuk memupuk persekitaran pembelajaran yang hidup dan berbudaya.
Guru Besar SK RPS Banun, Mohd. Zamarol Ahmad berkata, usaha itu membawa pelajar lebih dekat dengan peluang-peluang pendidikan.
“Inisiatif ini menunjukkan langkah besar ke hadapan untuk komuniti kami dan menjadi peringatan yang kuat tentang potensi yang boleh dicapai apabila kita bekerjasama.
“Bagi pihak sekolah dan komuniti, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Taylor’s College atas sokongan mereka yang amat bermakna. Dana RM20,000 dan projektor-projektor yang disumbangkan akan menambah baik sumber pengajaran kami dan membantu pelajar kami mencapai kejayaan,” jelasnya.
Awal tahun ini, Taylor’s College menobatkan Shawn Stanly sebagai pemenang RISE Educator Award 2024.
Pendidik berdedikasi yang mengajar di sebuah kampung terpencil di Gerik, Perak, itu menerima RM5,000 atas pencapaiannya dan RM20,000 untuk sekolahnya.
Selain itu, empat finalis RISE Educator Award 2024 turut menerima RM1,000, dengan tambahan RM10,000 untuk sekolah masing-masing bagi meningkatkan kemudahan atau infrastruktur dalam menyokong persekitaran kondusif untuk pendidikan berkualiti.- UTUSAN