“EMPAT tahun saya hidup terkontang-kanting macam orang sesat.”
Penyanyi, Nadeera Zaini tersenyum ketika menceritakan perjuangan 10 tahunnya demi bergelar seorang penghibur.
Selepas membuat keputusan keluar dari rumah mentornya, Datuk Zainal Abidin pada usia 23 tahun, gadis asal Mersing, Johor itu bertekad mahu mencari jalannya sendiri kerana merasakan mentornya sudah memberikan sokongan dan bantuan yang cukup banyak selama ini.
Anak bongsu daripada dua beradik itu melemparkan dirinya dihenyak kekerasan kota raya. Kuala Lumpur tempat yang tidak pernah tidur, tapi cukup tragis boleh membuat mimpi-mimpi melebur. Di situlah Nadeera mencari ruang, fikirnya, kalau dia tidak mudah berputus asa mungkin hidup akan mengabulkan impiannya.
Tidak pernah sentuh arak
Siapa sangka, empat tahun Nadeera atau Farah Nadeera Zaini, 31, keluar masuk pertandingan nyanyian. Mencari kalau-kalau ada ruang untuk bakatnya dipandang.
Entah mengapa kehadirannya selalu saja gagal memberikan impak atau mungkin sahaja laluan menjadi artis sedikit sukar untuk orang yang tidak memiliki status, populariti dan wang.
Demi menyara hidup, Nadeera bernyanyi dari hotel ke hotel hampir setiap hari selama lima jam. Jika perlukan duit lebih, penyanyi Emas itu mengambil tawaran bernyanyi di pub sekitar Kuala Lumpur.
Tapi entah kenapa, melihat orang meneguk arak membuatnya tidak senang. Dia kemudian mengundur diri demi ketenangan hati.
“Kalau saya tidak kerja, saya tidak dapat makan. Saya mula bernyanyi di hotel dengan upah RM100 sehari lebih kurang lima jam. Dengan duit itu dapatlah saya bayar duit rumah sewa. Kadang-kadang saya nyanyi sampai kehabisan suara.
“Selain hotel, saya pernah bernyanyi di pub, cuma entahlah saya ke sana tiga kali sahaja sebab rasa tidak selesa melihat orang minum arak terang-terangan. Saya tidak suka aura itu macam saya sedang bersubahat.
“Tapi saya harap orang tidak salah faham. Bukan saya mahu menghakimi atau menilai, bagi saya mahu minum atau tidak itu urusan masing-masing. Cuma perasaan saya sahaja yang tidak enak.
“Sepanjang di sana demi Allah, saya tidak pernah sentuh ‘barang’ itu. Saya hanya nyanyi sahaja cari kerja,” katanya.
Bukan itu sahaja, juara Big Stage musim kelima itu mengakui ada masanya dirinya diuji faktor kewangannya dan pernah makan telur semata-mata. Ada masanya dia makan mi segera bagi menampung rasa lapar.
Dia tidak mahu meminta bantuan keluarga, maklum sahajalah ibu bapanya juga sukar mencari wang dengan bekerja sebagai peniaga kedai makan di Johor.
“Pernah saya cuma makan telur sahaja sebab itu sahaja yang mampu. Mi segera juga. Tapi saya fikir itu perkara yang perlu dilalui mana-mana artis.
“Saya tahu, bernyanyi sahaja perkara yang boleh saya lakukan. Juga nyanyian sahaja yang boleh mengubati rasa sedih dalam diri. Kalau saya tidak buat apa-apa atau sedang tertekan, saya akan pergi karaoke dan mula ‘naik hantu’ di sana,” katanya ketawa.
Ditipu ‘Datuk’ RM28,000
Bercerita mengenai titik terendah dalam hidupnya, Nadeera mendedahkan pernah terfikir berputus asa daripada dunia nyanyian selepas ditipu oleh seorang berpangkat ‘Datuk’ dan terpaksa menanggung kos kerugian kira-kira RM28,000.
“Semasa bernyanyi di hotel, ada seorang Datuk katanya berminat dengan nyanyian saya dan mahu taja video muzik. Saya dan pengurus buat kertas kerja dan mesyuarat selama sebulan untuk uruskan penggambaran.
“Tiba-tiba ketika menghampiri tarikh penggambaran, dia seperti tarik tali. Sehari sebelum penggambaran dia batalkan semuanya. Tapi tak boleh buat apa sebab saya sudah panggil penerbit dan perlu bayar prop yang disediakan. Barang yang daripada lori kita kena turunkan dan duit gaji saya habis lesap begitu sahaja.
“Ketika itu terfikir mahu putus asa. Tapi saya ada banyak kenalan yang menasihati saya untuk tidak patah semangat antaranya Allahyarham Adibah Noor. Kami tidak rapat cuma pernah makan bersama beberapa kali kerana dia akrab dengan keluarga Datuk Zainal.
“Beliau pernah kata suara saya kedengaran seperti artis profesional padahal ketika itu saya masih muda. Arwah seolah percaya saya boleh pergi jauh dan berseloroh untuk utamakan bakat, jangan kahwin dulu.
“Apa yang saya lalui, saya anggap sahaja sebagai pengajaran. Maklumlah ketika itu kita masih terlalu naif mudah percaya orang. Rupanya datuk tersebut bukanlah orang industri hiburan. Entah-entah dia bukan ‘Datuk’ sebenar pun,” katanya ketawa.
Impian 10 tahun dikabul Tuhan
Nadeera mengambil nafas dalam-dalam, matanya bersinar ketika diaju pertanyaan tentang pertama kali bakal melangkahkan kaki ke Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39 menerusi lagu nyanyiannya sendiri, Bukan Lagi Kita ciptaan Hael Husaini.
“Kalau kamu hendak tahu, saya sudah 10 tahun idamkan untuk berada di pentas AJL. Pada usia 21 tahun, saya pernah cakap kepada seorang kawan bahawa suatu hari nanti saya mesti berada di pentas itu.
“Saya berusaha cukup lama untuk itu. Setiap tahun saya berdoa. Balik daripada kerja bernyanyi di hotel, saya akan berlari untuk tonton AJL. Saya ingat semua momen itu. Apabila diumumkan saya layak mara ke AJL, saya tidak boleh bayangkan betapa gembiranya perasaan saya.
“Akhirnya selepas 10 tahun, saya akan ke AJL. Allah susun cantik semuanya, saya bawakan lagu Hael Husaini yang juga sahabat saya. Allah temukan saya dengan Hael dan pasukannya, mereka juga orang baik,” katanya.
Nadeera dan Hael masing-masing sempat tular di Indonesia kerana memukau penonton semasa persembahan di Anugerah Televisyen Asia ke-29 (29th Asian TV Awards) November lalu.
Bercakap mengenai harapan membawa pulang mana-mana trofi, Nadeera berjanji akan melakukan yang terbaik untuk AJL pertamanya yang bakal berlangsung di stadium Axiata Arena pada 16 Februari tahun hadapan.
Walaupun ini merupakan AJL pertama Nadeera, namun namanya menjadi antara sebutan yang bakal memberi saingan hebat selain Aina Abdul, Hafiz Suip, Marsha Milan dan Ernie Zakri.
“Harapan dan target untuk menang sudah semestinya ada begitu juga dengan trofi Vokal Terbaik. Menjadi finalis sahaja saya sudah bersyukur apa lagi jika ada rezeki untuk menang.
“Ini pertama kali saya ke AJL, lagu saya pula tidak mudah dinyanyikan. Namun insya-Allah, semuanya akan berjalan lancar,” katanya yakin.