KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Ain Edruce mengumumkan dia dan suaminya, Amirul Hafiz bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi.
Pernah mengalami keguguran sebelum ini, Ain menerusi sebuah perkongsian di Instagram sempat meluahkan rasa bersyukur apabila dikurniakan sekali lagi rezeki untuk hamil.
“Tengok, Soraya akan jadi kakak! Alhamdulillah, untuk rezeki ini. Awal tahun hari itu saya sedih sangat waktu raya sebab gugur.
“Tidak pernah rasa sedih seperti itu dalam hidup saya. Tapi, Alhamdulillah Allah bagi lagi rezeki untuk kami sekeluarga,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Ain turut berkongsi foto lengkap bersama suami dan anak sulungnya, Soraya yang diambil daripada majlis ‘Gender Reveal’.
Namun, pengacara itu belum mendedahkan lagi jantina anak kedua mereka selain memohon orang ramai mendoakan kesihatan kandungannya.
“Doakan kandungan saya sihat okay. Yang penting, Amirul Hafiz bukan main gembira masa ‘gender reveal’ kenapa ya? Saya sayang awak, Amirul dan Soraya,” jelasnya.
Menjengah ke ruangan komen, berita gembira itu dihujani dengan ucapan tahniah dan doa daripada rakan artis serta peminat.
“Tahniah, Ain dan Amirul! Semoga dipermudahkan segala urusan,” komen Janna Nick.
“Alhamdulillah, tahniah Ain dan Amirul,” komen Nabila Razali.
“Saya gembira sangat untuk awak, Ain. Semoga Ain dan bayi dalam kandungan sentiasa sihat,” kata Sharifah Rose.
Pada April lalu, Ain berkongsi khabar duka apabila impiannya untuk menimang cahaya mata kedua tidak kesampaian kerana telah mengalami keguguran.
Untuk info, Ain dan Amirul telah berkahwin pada tahun 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Soraya yang kini berusia empat tahun.-UTUSAN