SEKIAN lama ‘diikat’ dengan beberapa pengurusan label, penyanyi Indah Ruhaila akhirnya membuat keputusan untuk melangkah bergerak sendiri. Keputusan yang tiba-tiba, tetapi tidak mengejutkan.
Namun ada yang tertanya-tanya, sudahkah dia bersedia bergerak sendiri? Sementelah, wang, kudrat sendiri yang harus ‘dikorbankan’ untuk melancarkan perjalanan karier nyanyiannya. Apakah dia mampu untuk berdikari?
Namun apakah sebabnya dia memilih untuk meninggalkan pengurusan lamanya? Ada isu tertunggah atau sebenarnya, dia hanya mahu belajar berdikari tanpa bergantung kepada tunjuk label?
Indah, jawablah!
J: Apa yang membuatkan Indah memilih untuk bergerak sendiri tanpa label? Adakah sudah tiba masa untuk berdikari?
I: Sejujurnya, keputusan untuk bergerak sendiri ini sudah lama saya pertimbangkan. Tetapi, disebabkan ada beberapa masalah yang saya tidak boleh elak dan memerlukan komitmen saya sehingga lagu baharu saya dilancarkan, Berpunya.
Pada saya, antara sebabnya hala tuju yang berbeza yang saya cuba capai dalam karier saya dengan perancangan label saya sebelum ini tidak selari dan tidak mencapai kata sepakat. Hala tujunya berbeza.
Sebelum ini, saya tiada masalah untuk penuhi kehendak mereka tapi pada saya kita perlu buat sesuatu perkara yang berbeza yang luar daripada zon selesa saya. Sampai bila saya nak ‘try and error’.
J: Melihatkan perjalanan karier indah sekarang, Indah rasa, adakah pemilihan lagu atau mungkin belum tiba masa mengulangi kehebatan Percayalah dan Pudar?
I: Sebenarnya, saya rasa kebelakangan ini memang susah untuk saya dapatkan karya yang bagus dan bila dengar sekali terus tahu itu adalah karya agung. Saya pula cerewet bab-bab pemilihan lagu ini, saya nak pastikan lagu saya boleh pergi jauh dan jadi siulan orang ramai.
Tidak salah untuk ambil masa sedikit demi menghasilkan karya yang bagus. Indah dan Berpunya lagu yang bagus. Cuma, untuk pasaran di Malaysia memang susah untuk naik tapi saya mencuba dan keluar dari zon selesa.
J: Bergerak sendiri satu perjalanan yang sukar. Indah juga maklum, duit, upaya dan kudrat sendiri yang harus dicurahkan? Indah sudah bersedia atau bagaimana?
I: Sejujurnya, ketika saya lancarkan lagu Pudar saya bergerak sendiri. Cuma ketika itu saya mendapat sokongan daripada syarikat rakaman Nova Music. Jadi tidak terasa sangat kerana muzik video sahaja saya kena guna duit sendiri. Tapi bergerak sendiri ini memang menggunakan duit dan usaha yang sangat banyak untuk pastikan lagu itu meletup.
Zaman sekarang ini semua ‘marketing’ melibatkan media sosial. Jadi, saya cuba fokus untuk lebih aktif di media sosial. Faham-fahamlah bila sudah berkahwin ini saya tidak banyak fokus ke arah media sosial sebab kita bukan remaja lagi. Benda macam itulah kena ada pengorbanan dari segi masa untuk lebih aktif di platform itu.
Bersedia itu, Alhamdulillah, setakat ini sebab sebelum ini saya sudah ada pengalaman promosikan lagu Pudar sendiri dan usaha itu menjadi. Mungkin untuk kali ini, Insya-Allah saya yakin untuk membuat manifesto seberapa banyak kejayaan untuk lagu-lagu baru saya akan datang.
J: Apa perancangan karier Indah selepas ini? Fokus kepada single atau bersedia dengan album?
I: Alhamdulillah, buat masa ini saya tengah mempertimbangkan beberapa buah demo yang saya dapat daripada komposer Malaysia dan negara seberang. Insya-Allah, kalau tiada halangan saya target untuk lancarkan lagu itu pada awal tahun depan sebelum raya.
Tapi saya risau kalau terlalu tergesa-gesa untuk mempromosikan lagu itu memandangkan raya tahu hadapan pada bulan tiga. Saya kalau boleh tidak mahu ada sebarang halangan sebab berlaga dengan lagu raya yang lain.
Kita memang mahu kerja laju tapi perkara seperti itu pun perlu dipertimbangkan. Jadi lepas ini saya memang mahu fokus kepada single terbaharu dan ada perancang nak keluarkan album. Saya mungkin akan rakamkan lagu ekstra dan muatkan dalam satu album sekiranya bajet itu mencukupi.
J: Ada plan buat konsert atau showcase untuk peminat?
I: Saya sudah lama ada perancangan mahu buat ‘showcase’ untuk peminat sejak tiga tahun lepas lagi. Tapi disebabkan banyak sangat halangan yang tidak dapat dielakkan, jadi perancangan itu tidak dapat direalisasikan lagi. Saya harap tahun depan saya dapat buat sekurang-kurangnya satu ‘showcase’ untuk peminat.
Ramai juga ada yang suruh saya sertai Gegar Vaganza (GV) tetapi saya rasa belum masanya lagi kerana masih ramai lagi artis otai yang masih boleh sertai GV. Saya harap tahun depan banyak perkara positif yang datang dan lebih berjaya sebab itulah impian kita untuk menghiburkan peminat.