'Rupanya orang ingat saya sudah berhenti berlakon' - Utusan Malaysia

‘Rupanya orang ingat saya sudah berhenti berlakon’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS mendirikan rumah tangga pada tahun 2018 dan bergelar ibu kepada seorang cahaya mata, pelakon cantik ini mengambil lima tahun memperlahankan kerjayanya.

Dalam tempoh itu juga, pelbagai khabar angin yang bertebaran mengenai Cristina Suzzane, termasuklah cakap-cakap orang yang kononnya dia sudah mengundurkan diri dari dunia lakonan.

Pelakon kelahiran Johor Bahru ini menafikan segala spekulasi yang bertebaran mengenai dirinya.

Ketika ditemui pada sidang media filem Babah baru-baru ini, Cristina menjernihkan cerita-cerita tidak benar, yang kononnya dia merajuk dengan industri seni, sekali gus mengambil keputusan untuk bersara.

“Saya terkejut apabila ada pihak yang membuat andaian, selepas itu menyampai-nyampaikan cerita kononnya saya sudah tidak berlakon lagi. Saya tak pernah pun cakap macam itu.

“Saya tahu mengenai khabar angin itu pun daripada kawan-kawan, yang bertanya adakah saya benar-benar sudah bersara. Tapi saya ambil maklum sahaja dan tidaklah mengorek siapa yang membuat cerita.

“Walaupun saya tak ambil serius cerita begini, sebab hanya sekadar khabar angin, tapi saya kesal juga kerana sedikit sebanyak cerita-cerita seperti ini boleh menutup periuk nasi saya.

“Dan disebabkan itu barulah saya tahu apa puncanya saya tak dipanggil berlakon. Terpinga-pinga saya di rumah menunggu panggilan, rupanya orang kata saya sudah berhenti berlakon,” katanya.

Kata Cristina atau nama sebenarnya Cristina Suzanne Stockstill, dia juga kesal apabila ada juga pihak yang membuat andaian kononnya suaminya, menghalang dia berlakon.

“Walhal, suami saya, M. Faiz Zakaria selalu bertanya kepada saya, tak adakah penerbit yang tawarkan saya kerja berlakon. Jelas suami tak pernah halang keinginan saya itu.

“Dia tahu saya amat mencintai dunia lakonan dan gembira dengan kerjaya itu, justeru dialah yang panggil menggalakkan untuk saya teruskannya,” kongsinya lagi.

Ibu kepada seorang cahaya mata bernama Noah ini bagaimanapun mengambil pendekatan bertenang dan tidak melenting dengan spekulasi-spekulasi yang bertebaran mengenainya.

“Terlampau banyak cerita tak benar, konon saya merajuk dengan industri seni, suami tak benarkan berlakon, macam sedih sangat hidup saya ini.

“Tetapi, daripada saya melenting, keluar kenyataan yang memburukkan keadaan, lebih baik saya buktikan saya masih berlakon dengan muncul dalam filem. Buktinya, saya baru selesai jayakan filem Babah,” ujarnya.

TAK PERLU BUAT, TAK PAYAH BISING
Disoal mengenai isu bayaran ‘ciput’ , Cristina akui jarang berdepan situasi tersebut namun menjelaskan, mengambil pendekatan untuk menolak sekiranya bayaran yang ditawarkan pada tahap yang melampau rendah.

“Saya jarang berdepan isu macam ini, sebab kebanyakan penerbit yang bekerja dengan saya maklum kadar bayaran lakonan saya.

“Pendekatan saya senang sahaja, kalau ‘underpaid’, tak perlu buat, tak payah bising. Kita akan jadi tak seronok kalau begitu,” katanya.

“Saya juga ada tanggungan, nak bayar rumah dan sebagainya. Bukan demand bayaran sebab nak beli beg mewah.

“Kalau ada yang tawarkan bayaran rendah, saya tolak. Sebab saya tak mahu bertegang urat soal bayaran ini. Berterus terang sahaja, tolak dengan cara baik dan penuh beradab,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya