KUALA LUMPUR : Penyanyi dan vokalis kumpulan New Boyz, Tomok, 40, menasihatkan setiap penyanyi yang ingin mengadakan konsert harus periksa dan mengambil tahu tentang latar belakang sesebuah pihak penganjur sebelum menjalin kerjasama.
Menurut Tomok, perkara itu bagi mengelakkan wujudnya insiden penipuan dan penganiayaan yang biasanya menyasarkan penyanyi baharu yang baru memasuki industri seni.
“Saya tidak nafikan perkara ini memang biasa berlaku, ada dalam kalangan pihak penganjur suka menyakinkan penyanyi baru untuk mengadakan konsert.
“Saya rasa tak ramai artis baru yang bersedia membuat konsert, penganjur seakan memberikan harapan bulan bintang kepada artis namun bila ada perkara yang berlaku ia akan terpalit kepada artis itu sendiri.
“Sebagai artis kita kena ambil tahu juga latar belakang dan pengalaman pihak penganjur,” katanya.
Tomok berkata demikian ketika ditemui di sidang media konsert Tomok dan Siti Nordiana Memori Mungkin Berulang bertempat di The Majapahit, di sini, hari ini.
Tambah Tomok lagi, dia juga pernah berhadapan dengan situasi sama sepanjang 25 tahun bergelar anak seni.
Malah katanya, berdasarkan pengalaman, dia tidak menafikan wujud pihak tertentu yang gemar menangguk di air keruh dalam industri seni.
“Mereka dalam kategori ‘kaki kencing’ ini memang ada, yang ajak kita buat persembahan dan akan bayar kemudian tetapi hilang begitu sahaja.
“Jadi sebagai orang yang berpengalaman, kita kena bijak menguruskan konsert sendiri seperti minta deposit, kontrak dan hal itu memainkan peranan penting.
“Kita jangan bagi orang-orang seperti ini mengawal segala hal berkaitan konsert. Kasian dekat artis-artis kita.
“Yang busuk nanti nama artis bukan penganjur. Proses perbincangan itu penting, jangan asal boleh sahaja,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Tomok teruja untuk mengadakan konsert pertama bersama Siti Nordiana selepas lebih dua dekat berada dalam industri seni.
Konsert Tomok dan Siti Nordiana Memori Mungkin Berulang dijadualkan berlangsung pada 1 Februari 2025 bertempat di Zepp Kuala Lumpur.
Untuk tiket boleh layari www.ticket2u.com.my.-UTUSAN